Kedutaan Perancis gembira kunjungan Presiden PAS

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama rombongan telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Kedutaan Perancis di Jalan Ampang, di sini hari ini.

Tujuan pertemuan itu diadakan bagi mengucapkan salam takziah dan bersimpati kepada kerajaan dan rakyat Perancis atas musibah pengeboman yang berlaku pada 13 November lalu.
 
Kunjungan Presiden PAS dengan ahli Parlimen PAS itu disambut baik oleh Duta Perancis, Sir Christophe Penot, Florence Mayol-Dupont (Timbalan Duta) dan Jeremie Forrant-Jaime (Sektor Politik Kedutaan Perancis).

Pihak Kedutaan Perancis sangat gembira dengan kedatangan Tuan Guru Abdul Hadi dan mengucapkan terima kasih kepada PAS.

Tuan Guru Abdul Hadi telah menandatangi buku lawatan dan berpeluang mengadakan perbincangan tentang keadaan terkini di Perancis.

Beliau turut merakamkan rasa simpati kepada keluarga mangsa akibat keganasan yang dicetuskan oleh pihak tertentu.

PAS mengecam tindakan keganasan itu dan disifatkan sebagai bertentangan dengan ajaran Islam.

Beliau turut mengajak agar Kedutaan Perancis dan masyarakat dunia mengambil penyelesaian terbaik bagi menangani punca keganasan yang berlaku.

Pendekatan muwajahah silmiyyah adalah jalan terbaik bagi menyelamatkan negara dan rakyat daripada terus menjadi mangsa pertembungan kuasa-kuasa besar dunia.

Pertemuan turut yang disertai oleh Naib Presiden PAS, Idris Ahmad (MP Bukit Gantang), Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan (Kota Bharu), Ketua Penerangan, Nasrudin Hasan (Temerloh), Ketua Pemuda, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Pasir Mas), Ahmad Marzuk Shaary (Bachok), Nurul Islam Mohamed Yusoff, Kamaruzaman Mohamad dan Mohd Faiz Nawi diakhiri dengan sesi fotografi bersama duta. - HARAKAHDAILY 17/11/2015

Share on Myspace