MP PAS tolak Bajet 2016, tidak sampai kena tindakan

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan walaupun terdapat tiga Ahli Parlimen PAS yang mengundi menentang Bajet 2016, namun ia tidak memerlukan tindakan tatatertib.

Beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini berkata ketiga-tiga mereka akan dipanggil untuk menjelaskan sendiri mengapa bertindak sedemikian.

"Perkara ini tak serius walaupun melanggari pendirian yang telah ditetapkan oleh parti, tidak sampai dikenakan tindakan disiplin dan itu tidak timbul.

"Kita akan panggil mereka sembang sambil minum kopi, mereka boleh jelaskan kenapa berlaku sedemikian," katanya lagi.

Semalam ketika undian di Parlimen dilakukan tiga Ahli Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena), Ahmad Baihaki Atiqulah (Kubang Kerian) dan Dr Nik Mazian Nik Mohamad (Pasir Putih) mengundi menentang Bajet 2016.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu turut menolak tindakan itu sebagai satu tanda perpecahan dalam PAS.

"Itu bukan tanda perpecahan di dalam PAS, mereka mengundi mengikut hati mereka.

"Perbezaan pendapat wujud dalam mana-mana parti, bukan dalam PAS sahaja malah Umno dan DAP turut ada perbezaan pendapat," katanya lagi.

Menurut beliau, PAS bersikap nuetral dalam bajet kali ini, penggubal undang-undang telah bercakap tentang aspek-aspek tertentu dan terdapat juga bahagian di mana parti mendapati ia berfeadah untuk rakyat.

Bajet itu telah diluluskan di peringkat dasar, dengan 128 undi menyokong dan 74 menentang. - HARAKAHDAILY 17/11/2015

Share on Myspace