1MDB: Lokasi Jho Low, 4 individu tidak dapat dikesan

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Interpol Polis Diraja Malaysia tidak dapat mengesan dan menentukan di mana jutawan dari Malaysia Low Taek Jho atau Jho Low berada ketika ini, menurut Kementerian Dalam Negeri.

Kementerian itu berkata ia memandangkan tiada siasatan yang dibuat oleh pihak polis terhadap jutawan itu di samping tiada permohonan yang diterima daripada mana-mana pihak untuk meminta bantuan Interpol mengesan jutawan itu.

"Tiada permohonan yang diterima daripada mana-mana pihak untuk minta bantuan Interpol kesan penama berkenaan," menurut jawapan bertulis kepada soalan Wong Chen (PKR-Kelana Jaya) yang dikeluarkan oleh kementerian tersebut di Dewan Rakyat.

Selain itu, Interpol PDRM juga tidak dapat mengesan empat individu lain iaitu bekas Pengarah Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Casey Tang Keng Chee dan Jasmine Loo Ai Swan, Pengarah Urusan SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dan Pengarah Urusan Goldman Sachs di Malaysia Datuk Yusof Annuar Yaacob.

Nik Faisal dan Low dikehendaki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi membantu siasatan berkaitan SRC International manakala Tang dan Loo dikehendaki oleh Bank Negara Malaysia untuk membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 bagi membantu siasatan berkaitan 1MDB. - Bernama

Share on Myspace