LPT2: Selesaikan kemelut piawaian, keselamatan rakyat

DR MOHD IBRAHIM | .

Kemalangan terbaru di LPT2 pada jam 2.15 pagi beberapa hari lepas di KM 292.2 yang membabitkan sebuah lori dan sebuah bas persiaran yang membawa pelajar sekolah menambahkan lagi kegelisahan dan kegusaran rakyat ke atas status LPT2, sama ada benar-benar selamat digunakan atau perlu dibuat penilaian semula keseluruhan aspek lebuh raya tersebut sama ada keselamatan, permukaan jalan, cerun bukit dan pelbagai aspek lagi.

Menurut Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ir Ismail Md Salleh, lebih separuh daripada keseluruhan 184km lebuhraya tersebut dibina di atas tanah lembut yang menyebabkan permukaan jalan sentiasa beralun.

Ini dikuatkan lagi dengan kajian yang dijalankan NGO Gerakan Anak Terengganu Insaf (Ganti) yang menyenaraikan lebih 26 lokasi jalan beralun teruk dan merbahaya untuk kenderaan ringan, beralun sederhana, tidak selesa dan merbahaya untuk motosikal serta jalan yang baru dibaiki telah rosak semula, justeru membahayakan penunggang motosikal.

Permukaan jalan dibawah Pakej 10 pembinaan MTD (KM 99.7 - KM 163) sepanjang 62.75km juga didapati banyak beralun berbanding pakej-pakej berbaki pembinaan JKR.

Ganti juga mendapati kurang pencahayaan di kawasan-kawasan berisiko kemalangan pada waktu malam, begitu juga terdapat banyak pagar-pagar yang rosak dan terbuka yang mana sebelum ini terdapat kemalangan yang membabitkan binatang ternakan memasuki lebuh raya.

Begitu juga jalur putih jalan tidak jelas kelihatan waktu malam, penanda pembalik cahaya pada penghadang jalan kebanyakannya sudah rosak dan tiada, kurang papan tanda pemberitahuan kawasan selekoh serta kawasan merbahaya, masalah air bertakung di bahagian tengah jalan terutama di waktu hujan, mendapan terhadap struktur lebuh raya di bahagian jambatan dan beberapa masalah lagi.

Tidak dinafikan faktor kecuaian pemandu dan kegagalan kenderaan berfungsi dengan sempurna juga antara faktor yang menyebabkan kemalangan di LPT2, tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak mengambil kira segala aspek lebuh raya itu sendiri sebagai faktor yang menyebabkan kemalangan berlaku.                                                                                                                                                                               

DPPM berharap Kementerian Kerjaraya, Institut Kerjaraya Malaysia (ikram) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) menjalankan kajian dan penyiasatan yang teliti berkenaan masalah LPT2 ini. DPPM menunggu keputusan kajian  "skid resistance", road profiling dan audit yang dijalankan oleh Ikram baru-baru ini.

DPPM berharap dengan keputusan tersebut kerajaan dapat mengambil langkah dan tindakan sewajarnya dalam menyelesaikan masalah dan kemelut berkenaan LPT2 ini yang seolah-olah tidak nampak kesudahannya. - HARAKAHDAILY 18/11/2015

Penulis ialah Pengarah Jabatan Pekerja, Pengguna & Alam Sekitar,
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).

Share on Myspace