Industri teksi negara tenat - Nasrudin

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ketua Penernagan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata Suruhanjaya Pengangkutan Awam dan Darat (SPAD) gagal menangani industri teksi negara yang terjejas teruk.

Ini, katanya sehingga pendapatan mereka merosot 50 peratus ekoran wujudnya perkhidmatan kereta sapu haram dan aplikasi haram seperti Uber dan Grabcar.

Menurutnya, Uber dan Grabcar didakwa sebagai perkhidmatan haram kerana SPAD menyalahgunakan kuasa memberi kebenaran dan promosi kepada My Teksi dan Uber untuk memberi perkhidmatan kereta sapu haram beraplikasi Uber dan Grabcar sebagai pengangkutan awam seperti teksi sedia ada.

Beliau berkata, perkhidmatan teksi bermeter kian tertekan atas beberapa faktor, antaranya kebanyakan pemandu teksi telah disenaraihitam oleh CTOS kerana gagal membayar sewa beli teksi yang semakin tinggi iaitu RM65 hingga RM75 sehari.

Di samping itu, tambahnya, kenaikan bahan api, NGV sedangkan kenaikan tambang meter hanya dinaikkan 25 peratus.

Selain itu, kata beliau GST dikenakan kepada pemandu-pemandu teksi oleh syarikat-syarikat teksi sedang pemandu tidak boleh mengenakan GST kepada penumpang.

"Turut terbeban dengan GST berangkai yang dikenakan ke atas mereka oleh Puspakom, kedai alat ganti kereta dan bengkel kereta," ujarnya yang Ahli Parlimen Temerloh.

Beliau menambah, SPAD memberi promosi luas kepada perkhidmatan Uber sedang teksi bajet terpaksa meronda sendiri mencari penumpang.

"Negara-negara lain telah mengharamkan Uber yang memusnahkan industri teksi negara. Justeru kerajaan Malaysia mesti segera bertindak sebelum parah," tegasnya.

Katanya lagi, kerajaan mesti sedia bertemu dan menjawab pelbagai persoalan yang ditimbulkan oleh Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang (JKBPTLK).

Mereka juga, ujar beliau rakyat yang turut berperanan untuk membangunkan sosial dan ekonomi negara.

"Malah sektor perkhidmatan awam ini mesti diselaraskan serta dikendali dengan bijak dan berkesan agar tidak menindas khas pemandu teksi," katanya. - HARAKAHDAILY 18/11/2015

Share on Myspace