B40: Jangan wujud diskriminasi politik

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Diskriminasi politik dalam kalangan mereka berpendapatan isi rumah B40 tidak seharusnya wujud kerana soal miskin dan kaya perlu dianggap seperti 'buta warna', demikian tegas Ahli Parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad.

Katanya, golongan berpendapatan rendah seperti itu adalah menjadi tanggungjawab kerajaan dalam memberikan tumpuan ke arah penambahbaikan taraf dan kualiti hidup rakyat.

"Perkara yang wajar diambil kira oleh menteri untuk atasi B40, orang miskin ni dia miskin segala-galanya," kata beliau semasa mengemukakan soalan tambahan di Dewan Rakyat hari ini.

Idris turut meminta pegawai kerajaan yang mengendalikan golongan itu sama ada di Baitulmal atau Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak sepatutnya menjadi pegawai di meja semata-mata.

Tambahnya, pegawai perlu turun di segenap pelosok untuk mencari sasaran kerana tidak semua golongan itu tahu akan hak-hak mereka.

"Jumpa dan bantu mereka, kadang-kadang mereka tidak tahu apa yang perlu mereka buat," ujarnya.

Menjawab soalan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim menafikan wujudnya diskriminasi politik kepada golongan B40 sebagaimana didakwa.

"Diskriminasi ini tidak wujud, tetapi persepsi orang masih ada. Isu ini kita tidak tahu maklumat dan kita tidak dapat kerana perkara ini bukan menjadi keutamaan kita.

"Kalau ia menjadi tumpuan usaha untuk kita buang B40 akan terjejas," ujarnya yang sebelum itu menjawab soalan Ahli Parlimen Tenom Datuk Raime Unggi.

Dalam soalan asal, Ahli Parlimen Tenom itu meminta Perdana Menteri menyatakan jaminan kerajan akan memberi tumpuan kepada penambahbaikan traf dan kualiti hidup rakyat termasuk di Sabah terutama melalui usaha meningkatkan pendapatan isi rumah B40, memperluaskan penyediaan infrastruktur asas luar bandar serta meningkatkan jariang perhubungan antara luar bandar dan bandar. - HARAKAHDAILY 18/11/2015

Share on Myspace