Keganasan: Perketat kawalan kemasukan pelancong

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memperketatkan kawalan kemasukan pelancong luar ke negara ini bagi tujuan mengelak berlakunya keganasan yang membabitkan warga asing.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad berkata Malaysia perlu mencontohi negara lain yang mengawal ketat setiap pintu masuk untuk memastikan pelancong yang masuk itu tidak terlibat dengan mana-mana pengganas antarabangsa.

"Kita bila pergi ke negara luar mendapati terlalu ketat kawalan yang diberikan kepada pelancong yang ingin memasuki negara mereka.

"Pemeriksaan dan kawalan yang diberikan kadang kala menyusahkan kita, tapi itu langkah terbaik dan Malaysia perlu mencontohinya dalam kita mengawal keganasan melibatkan warga asing," katanya ketika membahaskan Bajet 2016 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Luar Negeri di Dewan Rakyat, petang ini.

Naib Presiden PAS itu turut mendedahkan laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2010 telah mendapati ada pegawai Imigresen telah menerima rasuah sebanyak RM2,000 sehari.

"Ini boleh mengundang bahaya kepada negara, bagaimana sikap pegawai Imigresen yang sepatutnya mengawal atau pun memeriksa mereka yang masuk negara ini diperiksa sebaik mungkin tetapi telah menerima rasuah.

"Kita harap perkara ini dipandang serius oleh kerajaan agar negara ini terus berada dalam keadaan aman," katanya lagi.

Beliau turut meminta agar kerajaan memberikan kebebasan kepada rakyat dalam mengamalkan prinsip demokrasi.

Namun, katanya dalam masa rakyat mengamalkan demokrasi untuk berpolitik dan bersuara, pemantauan perlu dilakukan supaya tidak berlaku perkara yang melanggar undang-undang negara. - HARAKAHDAILY 18/11/2015

Share on Myspace