Pembunuhan Then: Islam tak ajar sedemikian, kata MP PAS

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Pembunuhan rakyat Malaysia Bernard Then Ted Fen yang diculik empat lelaki bersenjata di Sandakan, Sabah pada Mei lepas, menarik perhatian anggota Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mereka turut melahirkan ucapan takziah dan rasa simpati kepada keluarga mangsa.

Datuk Jumat Idris (BN-Sepanggar) berkata isu penculikan rakyat Malaysia oleh kumpulan pengganas dari selatan Filipina perlu diberi perhatian serius bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

"Kita minta Menteri Luar membawa isu ini ke peringkat ASEAN sempena persidangan ASEAN kali ini dan minta komitmen jelas dengan Kerajaan Filipina. Ini supaya mereka juga menjaga sempadan mereka bukan kita sahaja.

"Kita habiskan beratus juta ringgit untuk wujudkan agensi Esscom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) menjaga perairan kita. Filipina juga harus bersama-sama menjaga sempadan supaya jenayah rentas sempadan tidak lagi berterusan. Ia akan menjejaskan industri pelancongan dan nelayan kita juga terjejas," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 peringkat jawatankuasa berkaitan Kementerian Luar di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sementara itu, Idris Ahmad (PAS-Bukit Gantang) berkata pembunuhan itu dikaitkan dengan kumpulan militan Islam tetapi penganut agama Islam sebenar tidak akan membuat tindakan yang kejam itu.

"Ini bukan ajaran Islam. Islam tak ajar sikap sedemikian walaupun kepada bukan Islam. Ajaran seperti ini tidak boleh diterima. Ini perlu dicegah," katanya pada perbahasan sama.

Terdahulu pada awal persidangan, Dewan Rakyat turut melahirkan rasa simpati kepada keluarga Then, yang dipercayai telah dibunuh oleh militan Abu Sayyaf di Pulau Jolo di selatan Filipina semalam.

Timbalan Speaker Datuk Seri Ronald Kiandee melahirkan ucapan takziah beliau kepada keluarga mangsa.

Singapore Straits Times, melalui berita dalam taliannya di www.straitstimes.com melaporkan bahawa "Brigadier-General Alan Arrojado, commander of the Joint Task Group Sulu said Bernard Then was beheaded at around 4pm at a remote Abu Sayyaf stronghold in Jolo island, in Sulu province, some 1,400km south of the capital Manila."

(Komander Petugas Bersama Kumpulan Sulu, Brig Jeneral Alan Arrojado dilaporkan sebagai berkata Bernard Then dipancung kira-kira 4 petang di kubu kuat Abu Sayyaf di pulau Jolo, di Wilayah Sulu, kira-kira 1,400km ke selatan Manila.")

Pada 14 Mei lepas, Then, 39, seorang jurutera elektrik merupakan antara dua mangsa yang diculik empat lelaki bersenjata dari Selatan Filipina yang menyerbu Restoran Ocean King di Sandakan dalam kejadian pada 7.45 malam.

Seorang lagi mangsa culik ialah Thien Nyuk Fun, 50 yang juga pengurus restoran berkenaan.

Bagaimanapun pada 8 Nov lepas, Thien dibebaskan oleh kumpulan penculik berkenaan melalui rundingan antara kerajaan Malaysia bersama kumpulan berkenaan. - Bernama

Share on Myspace