Kerajaan Pakatan Harapan P. Pinang berbohong

MOHD YUSNI MAT PIAH | .

BADAN Perhubungan PAS Pulau Pinang (BPPPP) akan tetap berfungsi seperti sediakala menyumbang khidmat bakti kepada rakyat sepertimana PAS berfungsi sebelum berjaya menawan Pulau Pinang daripada Kerajaan Umno-BN.

Walaupun 300 JKKK daripada kalangan ahli PAS kononnya dipecat, tetapi secara ikhlasnya, kami tidak terkilan atau jatuh lemah dengan tindakan zalim Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang terhadap PAS.

Tindakan itu susulan pemberhentian bantuan kewangan secara tiba-tiba kepada SRIA dan SRIBU selepas pengumuman penubuhan Kerajaan Pakatan Harapan oleh Ketua Menteri. Bahkan sebelumnya ada Ahli Majlis PBT dari kalangan ahli PAS dipecat atau diberhentikan.

Seteruk-teruk PAS dizalimi Kerajaan Umno-BN ketika ditendang keluar dari Kerajaan Campuran 1973-74, PAS tetap berupaya bangkit semula membina kekuatan sehingga keahlian PAS mencecah hampir 1.4 juta orang pada hari ini di seluruh negara.

Begitu juga kepada PAS di Pulau Pinang, sikap zalim DAP dan Kerajaan Negeri tidak akan sedikitpun melemahkan PAS, malah PAS akan lebih komited bekerja untuk rakyat di negeri ini kerana Allah Taala.

Walau bagaimanapun, BPPPP berharap Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang tidak berbohong kepada rakyat berkenaan kononnya 300 JKKK daripada kalangan ahli dan pemimpin PAS telah dipecat di sepanjang bulan Oktober baru-baru ini. Sedangkan, ramai dari kalangan mereka yang tidak menerima surat pemecatan dari Kerajaan Negeri.

Jika tidak diserahkan surat pemecatan, kenapa sanggup berbohong bahawa semua 300 JKKK itu telah dipecat? Malah, pihak Kerajaan Negeri seakan 'segan silu' menafikan tindakan meletak jawatan oleh JKKK daripada kalangan ahli dan pemimpin PAS.

Kenapa hanya 300 JKKK sahaja dimaklumkan sebagai dipecat, sedangkan rekod sebenar menunjukkan 1,083 ahli PAS Negeri yang berkhidmat dan terlibat dengan JKKK. Kenapa 783 orang lagi dibiarkan? Adakah disembunyikan kuota PKR dan DAP? Di setengah tempat, semua JKKK itu adalah ahli-ahli PAS sama ada Pengerusi, Setiausaha juga seluruh Ahli Jawatankuasanya. Andaikata Kerajaan Negeri tiada rekod terperinci, maka saya bersedia mendedahkannya nanti.

Untuk makluman, BPPPP telah mengambil keputusan lebih awal sejak penubuhan Kerajaan Pakatan Harapan untuk tidak lagi bersama-sama di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri. Bukan sahaja dari kalangan Pengerusi dan Setiausaha JKKK sahaja, tetapi dari kalangan semua peringkat jawatankuasa di semua kawasan yang terlibat.

Kenyataan TKM1 baru-baru ini bahawa 300 JKKK PAS dipecat dan digantikan dengan pemimpin PAN tidak relevan lagi kepada BPPPP.

Mewakili BPPPP, saya berharap Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang lebih telus, lebih berintegriti dalam urusan tadbir mereka.

Kenyataan yang tidak benar seperti itu khususnya dari TKM1 menyerlahkan sisi yang tidak baik dan tidak bertanggungjawab, jauh dari realiti sebenar yang sedang berlaku di Pulau Pinang. – HARAKAHDAILY 19/11/2015

Penulis ialah Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang

Share on Myspace