Perlu cermat berbahas agar tidak dimanipulasi media

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kerajaan negeri terpaksa lebih berhati-hati menjawab setiap isu yang timbul bagi mengelakkan diambil kesempatan media.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata laporan media yang tidak seimbang terhadap kerajaan negeri dan PAS menyebabkan setiap isu perlu diulas lebih cermat.

Katanya, masih ada media yang sengaja memberi gambaran negatif biarpun penjelasan sesuatu isu dibuat termasuk pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) baru-baru ini.

“Sebab itulah kita tidak boleh bebas sangat ketika berhujah semasa menjawab soalan kerana ada media yang sengaja mengutamakan aspek negatif.

“Begitu juga jawapan yang diberi di persidangan Dun perlu dielak memberi kesan yang tidak sengaja kepada wakil-wakil rakyat lain,” katanya di sini.

Menurutnya juga, bekas veteran PAS Datuk Omar Mohamad acap kali memberi ingatan tidak semua isu yang timbul boleh dijawab secara terbuka anggota Exco.

Malah bekas Yang Dipertua PAS Kota Bharu Datuk Wan Rahim Wan Abdullah pernah memberitahu wakil-wakil rakyat tidak popular hanya sekadar boleh berhujah di persidangan Dun.

“Jadi mereka berpesan tak usah hendak tunjuk kita hebat sehingga menyanggah sahabat sendiri kerana sebagai manusia kita tidak terlepas daripada kesalahan,” ujarnya yang juga Setiausaha PAS Kelantan. – HARAKAHDAILY 19/11/2015

Share on Myspace