PAS larang debat terbuka Husam-Mustafa

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS menegaskan pihaknya tidak akan membenarkan mana-mana pihak menganjurkan perdebatan atau perbincangan  secara umum yang membabitkan isu dalaman parti itu.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan juga menasihatkan kepada pihak yang terlibat dalam kemelut terutama yang membuat dakwaan terhadap parti dan pimpinan perlu membincangkan kemelut itu di peringkat parti.

Beliau berkata demikian merujuk kepada isu dalam PAS yang didakwa oleh beberapa pimpinan parti itu mengenai isu kononya kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mahu PAS dan Umno bergabung di negeri Selangor.

Terkini, Ketua Pengarah Pilihan Raya Datuk Mustafa Ali dengan bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa telah bersetuju untuk mengadakan satu perdebatan berkenaan isu tersebut.

Bercakap di hadapan pemberita di Lobi Parlimen petang ini, Takiyuddin telah mengeluarkan satu surat kepada Husam untuk hadir di hadapan Dewan Harian PAS pada 24 November ini.

"Di sini beliau boleh memberi penjelasan kepada Dewan Harian atas dakwaannya tersebut. Kita bagi peluang seluasnya untuk dia memberi penjelasan.

"Jika sekiranya dia rasa Presiden adalah pihak berkepentingan mungkin tanpa kehadiran Presiden dia boleh beri keterangan, yang ada lagi Timbalan Presiden dan Naib. Di dalam surat itu juga saya menyatakan beliau boleh membawa semua bukti-bukti atau dokumentari yang perlu," katanya.

Katanya, PAS sebagai sebuah parti Islam tidak boleh membangkitkan perkara yang boleh menimbulkan fitnah kepada jemaah.

"Dakwaan yang ada asas hendaklah pergi melalui saluran yang betul. Husam boleh bangkitkan dalam mesyuarat perhubungan kalau betul-betul niat untuk menjaga parti," katanya.

Jelas Takiyuddin, Mustafa Ali merupakan Ahli Dewan Harian turut hadir pada 24 November ini dan mungkin di dalam pertemuan itu kemelut ini boleh diselesaikan dengan lebih baik. – HARAKAHDAILY 19/11/2015

Share on Myspace