60 tahun: PAS Kelantan anugerah tokoh istiqamah

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Ketika masih ada kalangan penyokong keliru dengan dakwaan pemimpin PAN kononnya PAS mahu bergabung dengan Umno, pertandingan pidato khas bertema istiqamah diadakan esok.

Program itu diadakan bagi memperlihatkan idea-idea baru bagi memperkukuh perjuangan sempena sambutan 60 tahun PAS Kelantan.

Malah pada sebelah malam pula diadakan anugerah tokoh istiqamah bagi kategori lelaki dan perempuan yang dicalonkan setiap PAS kawasan di Kelantan.

Setiausaha Jawatankuasa Teknikal sambutan tersebut Wan Zulkefli Wan Muhammad berkata tokoh-tokoh istiqamah turut diberi penginapan percuma di hotel sempena program berkenaan.

“Mereka diberi peluang mendiami hotel dua malam sebagai menghargai semangat istiqamah mereka dalam perjuangan,” katanya di sini.

Sambutan 60 tahun PAS Kelantan dimulakan dengan kuliah pagi Jumaat perdana pada jam 8.45 pagi disampaikan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sebelum itu diadakan kawad hormat dan perarakan pemimpin ke pentas utama di perkarangan Pejabat Perhubungan PAS Kelantan di Jalan Datuk Pati.

Laluan berkenaan sejak pagi tadi ditutup kepada semua lalu lintas. Kenderaan dari pusat bandar untuk ke Jalan Sultan Ibrahim dilencong ke jalan belakang Pejabat PAS berhampiran kedai kain Laila Rawas.

Khemah tempat pameran PAS kawasan dan agensi-agensi kerajaan sedang disiapkan di sepanjang Jalan Datuk Pati.

Perasmian sambutan 60 tahun PAS Kelantan akan disempurnakan Timbalan Mursyidul Am PAS Ustaz Datuk Ahmad Yakub.

Selepas itu akan diadakan perasmian Pejabat Legasi Tok Guru dan Galeri Penerangan PAS Kelantan di tingkat satu Pejabat PAS Negeri.

Selepas acara perasmian bermula jam 11 pagi himpunan muslimat diadakan, kemudian diikuti himpunan ulama dan anak muda sebelah petang.

Pentas anak muda akan diisikan persembahan nasyid Shoutul Amal dan dikir barat oleh Jen Endoro.

Selepas solat Isya pula diadakan tayanga video 60 tahun PAS Kelantan dan pengisahan suka duka PAS Kelantan.

Turut diadakan pelancaran dan persembahan lagu khas tribut Murabi Ummah oleh Shoutul Amal.

Sambutan ulangtahun berkenaan akan berakhir dengan ceramah Timbalan Presiden PAS, Menteri Besar dan Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud. - HARAKAHDAILY 19/11/2015

Share on Myspace