PAS kutuk pembunuhan kejam rakyat Sarawak

JOFRI JARAIEE | .

SATU kepala terpenggal dipercayai milik Bernard Then Ted Fen tebusan dari Malaysia dijumpai berhampiran bangunan majlis perbandaran di Pulau Jolo pada petang Selasa, menurut pegawai polis selatan Filipina.
 
Menurut 'The Star' Ketua Polis Jolo Major Junpikar Sitin diberitahu bahawa penyapu jalan menjumpai kepala di dalam sebuah karung dengan perkataan "Bernard Then Ted Fen"  di Marina Street di Barangay Chat City di Jolo pukul 8.30 malam Selasa lalu. Kepala tersebut dipercayai milik Bernard Then Ted Fen 39, seorang jurutera elektrik rakyat Sarawak, yang dipercayai dibunuh oleh kumpulan penculik dari Selatan Filipina.
 
Laporan perisikan dari Jolo menunjukkan bahawa Then telah dipancung oleh puak Abu Sayyaf yang diketuai oleh Idang Susukan di Indanan berikutan tarikh akhir diberikan selama seminggu untuk memenuhi permintaan untuk mendapatkan wang tebusan yang lebih tinggi yang telah dibuat semasa pembebasan pemilik restoran Sabah Thien Nyuk Fun pada 9 November.
 
Laporan juga menyatakan bahawa pemotongan kepala itu berlaku apabila tentera Filipina mempergiatkan operasinya terhadap Abu Sayyaf di kawasan Indanan itu. Brigadier Jeneral Alan Arrojado, komander Pasukan Petugas Bersama Kumpulan Sulu, yang telah mengesahkan bahawa Then dipancung, juga menyatakan bahawa badan itu segera dikebumikan di persekitaran di mana pemotongan kepala itu berlaku.
 
Beliau juga berkata pemotongan kepala itu berlaku ketika tentera melancarkan serangan meriam pada  kedudukan tahanan tebusan di Jolo.  Arrojado berkata usaha kini sedang dibuat untuk mencari mayat Then. Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pihak polis masih cuba mengesahkan maklumat tersebut dengan sumber rasmi.

Pembunuhan kejam yang dilakukan oleh penganas terhadap para tebusan di Selatan Filipina baru-baru ini keatas rakyat Sarawak amat dikesali. Islam melarang umatnya membunuh sesama insan tanpa mengira bangsa dan agama.
 
Perbuatan mereka yang melakukan keganasan dan kekejaman terhadap orang awam ini sebenarnya bukan ajaran Islam. Mereka yang mengaku sebagai seorang Muslim dilarang melakukan perkara tersebut dan ini bukannya sikap mereka yang mengikut ajaran Islam yang sebenar yang dibawa dan diajar oleh Rasullullah.
 
Sebarang kegiatan keganasan dilakukan oleh puak pelampau yang berlaku sekarang, jangan dikaitkan dengan ajaran Islam kerana Islam adalah agama pendamaian bukan seperti yang digambarkan oleh media yang anti Islam.
 
Kita mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan keatas orang awam dan kita juga ingin mengucapkan takziah dan simpati ke atas keluarga mangsa. Pasukan keselamatan harus meningkatkan lagi kawalan dan keselamatan di kawasan yang sering menjadi sasaran penculikan.
 
Kita mahu hubungan harmoni sesama bangsa dan agama di Malaysia dan khususnya di Sarawak akan terus dikekalkan dan kita menentang sebarang bentuk keganasan terhadap sesama insan. – HARAKAHDAILY 20/11/2015

Share on Myspace