Menteri Asean mulakan siri mesyuarat di KL

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Para menteri Asean yang berhimpun di Kuala Lumpur menyertai siri mesyuarat menjelang berlangsungnya Sidang Kemuncak Aseanke-27 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan ketika Malaysia menyandang jawatan pengerusi pertubuhan serantau itu sepanjang 2015.
    
Mesyuarat yng diadakan hari ini termasuk Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan Aseanke-13 yang dipengerusikan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman, Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN ke-14 dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN ke-17.
    
Mereka akan berbincang tentang penubuhan Komuniti Aseanmenjelang berakhirnya tahun ini, satu sejarah penting bagi pertubuhan 10 negara Asia Tenggara itu yang kini berusia 48 tahun.
    
Komuniti Aseanmenuntut integrasi lebih rapat dalam kalangan negara terbabit berlandaskan tiga tonggak - ekonomi, politik-keselamatan dan sosiobudaya.
    
Di samping mesyuarat berkenaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, para wakil daripada sektor perniagaan di rantau ini berhimpun di sebuah hotel di bandar raya ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Asean2015.
    
Sidang kemuncak itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pagi ini.
    
Antara program lain ialah Mesyuarat Menteri-Menteri Majlis Ekonomi Asean-Dialog Pelabur Global dan Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Asean- Dialog Pelabur Global.
    
Beberapa pemimpin dunia dijadual tiba di Kuala Lumpur hari ini, termasuk Presiden Amerika Barack Obama.
    
Obama akan menyertai Sidang Kemuncak Asean-Amerika ke-3 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-10, yang  melibatkan 10 negara anggota Aseandan lapan rakan dialog - Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Rusia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat - serta Pertubuhan Bangsa Bersatu.
    
Asean dianggotai Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. - BERNAMA

Share on Myspace