PAS 60 Tahun: Kita penerus pejuang terdahulu

USTAZ DATUK AHMAD YAKOB | .

FIRMAN Allah SWT:

مَّا كَانَ عَلَى النَّبِيِّ مِنْ حَرَجٍ فِيمَا فَرَضَ اللَّهُ لَهُ ۖ سُنَّةَ اللَّهِ فِي الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلُ ۚ وَكَانَ أَمْرُ اللَّهِ قَدَرًا مَّقْدُورًا

Maksudnya: Tidak ada rasa bebanan yang ditanggung oleh Nabi dalam melaksanakan tuntutan Allah terhadapnya. Sunnatullah ini juga berlaku kepada Nabi-nabi yang telah terdahulu. Ingatlah bahawa perintah Allah itu adalah satu ketetapan yang  telah ditentukan-Nya. (Al-Ahzab : 38)

Perjuangan Islam bersama PAS yang kita galas pada hari ini bukanlah satu pilihan, tetapi ia merupakan satu kewajipan yang terpikul di atas bahu kita semua. Kita mewarisi perjuangan para Nabi di dalam mengajak manusia ke arah makruf dan mencegah mereka daripada melakukan kemungkaran.

Perjuangan kita ini bukan bermula pada hari ini, ia merupakan perjuangan yang dimulakan oleh para Anbiya’ yang terdahulu. Kita hanyalah mata rantai di dalam perjuangan ini, kita mempusakainya dari generasi yang terdahulu, dan kita menyambung mata rantai itu serta akan mewariskannya pula kepada generasi yang terkemudian.

PAS telah berjaya menguasai Kelantan termasuk juga Terengganu pada pilihan raya umum pada tahun 1959 dengan menguasai 28 kerusi daripada 30 kerusi yang dipertandingkan. Sekalipun berdepan dengan parti gabungan Perikatan pada masa itu, namun kita berjaya mentadbir Kelantan dan Terengganu dengan baik.

PAS membentuk kerajaan yang dipimpin oleh Ustaz Ishak Lotfi Omar di Kelantan dan Mohd Daud Abdul Samad di Terengganu. PAS telah memulakan langkah sebagai kerajaan di dua negeri Pantai Timur untuk menterjemahkan ideologi perjuangannya yang berasaskan al-Quran dan Sunnah. Kita di Kelantan dapat bertahan sehingga BN mendaruratkan Kelantan pada akhir tahun 1977.

PAS Kelantan di bawah kepimpinan ulama telah mendapat sokongan semakin ramai, sehingga mampu mengatur perancangan politik-dakwah yang mendepani segala cabaran semasa. Alhamdulillah, PAS menguasai Kelantan semula pada tahun 1990.

PAS sentiasa berpegang kepada prinsip tidak mengasingkan tuntutan agama dan politik, mempertahankan al-Quran dan Sunnah Nabi dengan melaksanakan hukum syarak serta sentiasa berusaha ke arah penyatuan umat.

Yang penting, untuk menghadapi PRU-14 nanti kita sudah mempunyai persiapan bermula daripada sekarang. Perlu diingat bahawa asas kepada persiapan pilihan raya di Kelantan adalah berpandukan kepada akidah perjuangan PAS itu sendiri.

Kita harus menyusun kerja berasaskan kepada penyusunan yang rapi. Kita perlu menggariskan panduan gerak kerja kita berasaskan kepada lima KPI sebagaimana PRU-13 yang lalu dengan penambahbaikan iaitu pertama, jentera mesti disusun rapi mengikut struktur jawatan dan tugas-tugas pilihan raya. Kedua, gerak kerja untuk mendaftarkan pengundi baru dilakukan secara berterusan.

Ketiganya, kita bergerak di atas dasar persiapan dana. Dalam memantau dan menggerakkan jentera pilihan raya, keperluan dana semakin mendesak. Segala-galanya mesti berasaskan kepada sumber kewangan. Kempen, persiapan, semuanya perlukan dana. Jika tiada dana, maka gerak kerja kita akan tergendala.

Oleh itu kita tekankan, bagi persiapan PRU, dana harus dijana di peringkat peti undi. Sehingga kita berjaya menyusun keperluan serta pengumpulan dana di peringkat peti undi. KPI yang keempatnya, kita bina asas untuk mengekalkan mood rakyat. Kita atur program untuk mengekalkan mood rakyat ataupun selera rakyat kepada kita tidak berubah dan semakin baik.

Untuk mengekalkan mood ini, kita buat pendekatan secara langsung dengan rakyat. Kelimanya, kita mengasaskan KPI kita di atas dasar perkhidmatan wakil rakyat yang sedia ada. Kita mahu wakil rakyat kita berkhidmat dengan cemerlang disemua kawasan yang dipertanggungjawabkan.

Saya ingin memperingatkan kita semua agar menghayati tentang kisah peperangan Uhud yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Di dalam peperangan ini, Rasulullah SAW telah menujukkan contoh kemahiran baginda di dalam merancang kedudukan tentera Islam bagi memastikan mereka tidak dapat dikalahkan oleh musuh. Ada pasukan yang tugasnya bertempur di bawah dan ada pula pasukan yang tugasnya mengawal bukit Uhud.

Pada pusingan pertama, tentera Islam telah mencapai kemenangan awal kerana tentera yang mengawal bukit Uhud terus menerus memanah tentera musyrikin yang datang daripada bawah.

Bagaimanpun, apabila diuji oleh Allah SWT dengan sedikit harta rampasan yang ditinggalkan di atas tanah, sebahagian tentera yang mengawal bukit Uhud ini telah mengambil sikap melupakan pesanan Rasulullah SAW dan meninggalkan bukit Uhud untuk mengambil harta rampasan perang yang ditinggalkan.

Senario ini hampir-hampir mengakibatkan Rasulullah SAW terbunuh di dalam peperangan tersebut. Langgar arahan Rasulullah adalah maksiat dan mungkar, oleh sebab itu Allah tidak izinkan kemenangan!

Justeru apa yang ingin saya tekankan ialah, segala perancangan strategik yang diatur tidak akan berjaya tanpa adanya ikatan ketaqwaan dengan Allah SWT. Kepatuhan kepada dasar dan keputusan yang telah digariskan samada melalui Majlis Syura Ulama, PAS Pusat atau dimana-mana keputusan yang dibuat perlu difahami secara teliti dan diterima dengan hati yang lapang walau kadang-kadang ia tidak secocok dengan kehendak kita.

Bersabarlah dengan sesuatu keputusan yang telah diputuskan khususnya  dalam situasi kini, yakinlah dengan kesabaran itu Allah beri laluan mudah kepada kita. Perkara-perkara sebegini amat perlu kita tekan kan dalam parti. Firman Allah Taala dalam surah al-Nahl:

Maksudnya: Dan bersabarlah (Wahai Muhammad terhadap telatah golongan yang ingkar itu) dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah. Janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (Surah Al-Nahl : 127-128)

Kini, walaupun kita telah berpisah dengan DAP tetapi masih berada dalam Pakatan Rakyat bersama Keadilan Rakyat.

Ahli PAS mesti jelas bahawa pendekatan yang telah diambil ini bukan merugikan parti tetapi ia adalah pegangan prinsip yang sekian lama kita perjuangkan. Perlu diingat, setiap parti dalam Pakatan Rakyat mempunyai dasar, matlamat dan falsafah perjuangan masing-masing.

Namun di sana ada satu tujuan yang serupa iaitu menegakkan keadilan serta menentang pelbagai penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh parti pemerintah dengan cara menumbangkannya dalam pilihanraya. Penyelarasan usaha dan kerja antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat boleh diselaraskan demi mencapai tujuan tersebut.

Dalam masa yang sama parti-parti boleh menjalankan tindakan dan pelaksanaan ke arah mencapai matlamat dan misi masing-masing, yang mungkin tidak berlaku kesepakatan dan persetujuan antara satu sama lain.

Bagi menyelesaikan masalah ini, sebelum PRU13, parti-parti dalam Pakatan Rakyat telah menandatangani satu dokumen, bersetuju untuk setiap parti menegakkan visi dan misi masing-masing. Di sinilah terbitnya istilah “agree to disagree” (bersetuju untuk tidak bersetuju).

Sesebuah parti dalam komponen Pakatan Rakyat boleh tidak bersetuju dengan pelaksanaan yang akan dibuat oleh rakan komponennya, tetapi tidak boleh menghalang atau membuat apa-apa tindakan ke arah menggagalkannya.

Merujuk kepada apa yang berlaku mutakhir ini, banyak isu-isu yang agak panas dan kepelbagaian pandangan yang boleh menatijahkan sesuatu yang tidak baik kepada parti kita.

Dalam mengurus hal ini semua ahli wajib  mendokong konsep dengar dan patuh kepada kepimpinan tertinggi parti iaitu Majlis Syura Ulama (MSU) dan Presiden parti. Ia merupakan persoalan asas dan adab yang tertinggi dalam PAS yang wajib difahami dan di amalkan oleh semua anggota parti.  – HARAKAHDAILY 20/11/2015

Intipati ucapan perasmian Sambutan 60 Tahun Pas Kelantan oleh YAB Timbalan Mursyidul Am Pas/Pesuruhjaya Pas Kelantan dan Juga Menteri Besar Kelantan

Share on Myspace