Memali: Ustaz Ibrahim Libya istiqamah dalam perjuangan

HARAKAHDAILY | .

BALING: Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Peristiwa Memali yang berlaku 30 tahun lalu membuktikan bahawa Almarhum As-Syahid Ustaz Ibrahim Mahmud istiqamah dalam perjuangan Islam.

Justeru, katanya perjuangan untuk menegakkan Islam adalah perjuangan yang berat sebagaimana semangat yang ditunjukkan oleh almarhum yang lebih dikenali dengan Ustaz Ibrahim Libya,

"Oleh kerana itu kita mesti istiqamah dalam perjuangan ini," ujarnya ketika berucap pada Majlis Memperingati 30 Tahun Syuhada Memali di pekarangan Madrasah Islahiah Diniah Memali, malam tadi.
 
Turut berucap ialah Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah dan Ketua Pemuda PAS negeri, Datuk Najmi Ahmad dan Mohd Azam Abdul Samat.

Bagi beliau, walaupun Peristiwa Memali  yang berlaku pada 19 November 1985 itu adalah titik hitam dalam sejarah negara tetapi ia juga merupakan titik cemerlang dalam perjuangan Islam.

"Kita bersama pada malam ini untuk mengambil pengajaran daripada Peristiwa Memali dengan tujuan untuk menunaikan tanggungjawab kita kepada Allah," katanya lagi.

Mohd Azmi juga mengajak masyarakat supaya berfikir mengenai masa depan anak cucu nanti ekoran beberapa langkah diambil kerajaan yang membebankan rakyat pada hari ini.

"Kena kena fikir anak cucu kita untuk memilih kerajaan dalam pilihan raya umum akan datang," ujarnya.

Beliau berkata, insiden di Kampung Memali itu adalah antara tiga peristiwa penting yang berlaku di daerah ini selain Rundingan Damai Baling yang merupakan perundingan di antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Parti Komunis Malaya (PKM) dan Demonstrasi Baling pada 1974. - HARAKAHDAILY 20/11/2015

Share on Myspace