Asas Islam punca Kelantan sifar rasuah

MUHAMMAD YUSRI AMIN | .

KOTA BHARU: Asas Islam yang digunakan PAS mentadbir kerajaan negeri sejak 1990 membolehkan Kelantan sifar rasuah sehingga sekarang.

“Walaupun tuduhan banyak, namun kita buka pintu kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia 25 jam sehari, marilah siasat.

“Kalau sekiranya ada kes, kita bersedia didakwa di mahkamah,” kata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurutnya PAS berjaya meletakkan model pemerintahan berasaskan Islam di negeri yang ditadbirnya.

“Kita mahu kerajaan yang bersih. Dan sehingga kini alhamdulillah, kita bersih.

“Bahkan kita berjaya membuktikan tidak berlaku sebarang rasuah dalam kepimpinan negeri,” katanya pada sidang media sempena Sambutan 60 Tahun PAS Kelantan di Pejabat Perhubungan Negeri hari ini.

Oleh itu beliau merakamkan ucapan tahniah kepada PAS Kelantan kerana berjaya menerajui parti itu dalam tempoh 60 tahun. – HARAKAHDAILY 20/11/2015

Share on Myspace