Serpihan PAS tidak mampu bertahan - veteran

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Veteran PAS menyifatkan mana-mana parti serpihan yang lahir daripada parti itu semuanya tidak mampu bertahan lama dan akhirnya “berkubur” kerana tidak ada keikhlasan dalam perjuangan.

Antaranya Hamim, Berjasa, Akim dan Islah tidak mampu bertahan lama kerana penubuhan parti itu lahir berasaskan perasaan kecewa.

Bekas Bendahari PAS Pusat Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata semua parti serpihan yang lahir daripada PAS tidak mampu bertahan lama kerana kewujudannya tanpa ada keikhlasan.

“Saya berada dalam  perjuangan bersama PAS sejak 57 tahun lepas dan pernah melalui pengalaman di bawah kepimpinan Datuk Ishak Lotfi, Datuk Mohd Asri dan Tok Guru Nik Abdul Aziz.

“Ujian yang paling besar dalam perjuangan ialah tidak sabar sehingga ada pemimpin yang kecewa keluar dan menubuh parti baru.

“Sebab itulah kita kena istiqamah dan bersabar. Istiqamah waktu susah dan senang. Sepanjang 57 tahun bersama PAS saya menempuh pelbagai pengalaman suka dan duka,” katanya pada  pada slot bicara khas sempena sambutan 60 tahun PAS Kelantan di Medan Ilmu malam tadi.

Hadir sama Timbalan Musyidul Am PAS Ustaz Datuk Ahmad Yakub, Naib-naib Presiden, Ustaz Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah  dan pemimpin-pemimpin PAS Kelantan.

Program tersebut merupakan acara terakhir sempena sambutan 60 tahun PAS Kelantan yang bermula sejak pagi semalam.

Sebelum itu ribuan yang hadir solat hajat di Dewan Zulkifli Muhammad yang diimamkan anggota Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Kelantan Ustaz Nik Razi Nik Mat.

Pada program berkenaan Ustaz Abdul Halim yang juga bekas Timbalan Menteri Besar dianugerah Tokoh Istiqamah Khas. Beliau menerima  cek bernilai RM10,000 dan sijil penghargaan dalam bentuk frame.

Manakala bekas Ketua Penerangan PAS Machang, Ustaz Abdul Rahman Salleh dan Hajah Fatimah Mat Daud, ibu kepada Adun Mengkebang, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman menerima anugerah Tokoh Istiqamah.  

Mereka menerima pakej umrah bernilai RM7,000 dan sijil penghargaan. Kesemua hadiah disampaikan Ustaz Ahmad yang juga Menteri Besar.

Turut menerima  anugerah istiqamah iaitu dua tokoh iaitu kategori muslimin dan muslimat dari 14 PAS kawasan di Kelantan.

Pada ucapan ringkas itu Ustaz Abdul Halim juga menasihat pendokong PAS supaya banyak bersabar dan jangan mahu mengejar jawatan.

Beliau turut berpandangan PAN yang baru lahir bakal mengulangi nasib yang pernah menimpa serpihan PAS sebelum ini.

Ustaz Idris pula berkata, sehingga  kini jawatankuasa PAS Pusat tidak pernah membincangkan dalam sebarang mesyuarat mahu bergabung dengan Umno sebagaimana dakwa bekas serpihan parti itu.

Beliau berkata tidak pernah berbangkit sama sekali terhadap dakwaan tersebut.

“Saya pun kalau dengar dakwaan sesetengah bekas rakan kita mahu bergabung dengan Umno berasa loya tengkok,” katanya. - HARAKAHDAILY 21/11/2015

Share on Myspace