Bersemuka dengan Husam: Mustafa terkilan tetapi akur

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Datuk Mustafa Ali sedikit terkilan dengan arahan Setiausaha Agung PAS berkait majlis bersemuka beliau dengan Adun Salor, Datuk Husam Musa.

"Tapi sebagai seorang ahli PAS, saya akur dengan arahan tersebut," ujarnya beliau dalam satu kenyataan sebagaimana berikut.

Walaupun sedikit terkilan dengan arahan Setiausaha Agung PAS berkait majlis bersemuka saya dengan Datuk Husam Musa tapi sebagai seorang ahli PAS, saya akur dengan arahan tersebut.

Saya akui memang saya tidak memberitahu kepada mana-mana pimpinan PAS malah kepada sesiapa pun tentang hasrat untuk bersemuka dengan Datuk Husam. Saya tidak mewakili pimpinan PAS dan tidak juga mewakili Dewan Harian PAS.

Saya mewakili diri saya sendiri sebagai seorang ahli PAS yang merasa terpanggil untuk berbuat sesuatu apabila melihat fitnah dan pendustaan dilemparkan sedemikian rupa.

Oleh kerana saya tahu malah terlibat dengan peristiwa yang menjadi rujukan tentang pertemuan antara pemimpin Umno dan PAS selepas beberapa hari selesai pilihan raya ke-12 tahun 2008, maka saya berkewajiban untuk menjelaskannya dan meletakkannya dalam perspektif yang betul.

Oleh itu, saya mohon Saudara Khalid Samad, jika beliau sanggup dan bersedia untuk membuat pencerahan tentang peristiwa ini. Ini kerana beliau salah seorang yang menyertai pertemuan tersebut tetapi bukan lagi ahli PAS pada masa ini, maka beliau tidak tertakluk dengan arahan Setiausaha Agung PAS.

Mengenali Saudara Khalid sekian lama, saya masih menaruh kepercayaan bahawa beliau masih mampu untuk berbuat demikian iaitu secara jujur menjelaskan perkara-perkara berikut:

1. Siapa yang minta untuk berjumpa?

2. Kenapa kami - Nasaruddin Mat Isa, Khalid dan saya sanggup untuk berjumpa?

3. Apa yang dibincangkan dalam pertemuan ini dan apakah natijah dari perbincangan tersebut? - HARAKAHDAILY 21/11/2015

Share on Myspace