Penasihat: Orang PAS 'sejuk kaki tangan' tak baca al-Quran

HARAKAHDAILY | .

BALING: Para pendukung parti yang 'sejuk kaki tangan' dengan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang menyatakan hendak menjadi pembangkang dan penasihat supaya banyak membaca al-Quran.

Ini kerana kandungan kitab suci ada menceritakan mengenai para nabi yang mengambil pendekatan menasihati pemerintah pada zaman mereka.

"Kita bersabar, kita pendakwah untuk membetul keadaan, ambil pendekatan nasihat. Malang orang PAS tak baca Al-Quran.

"Bila kita kata nak jadi pembangkang, jadi penasihat, ada yang sejuk kaki tangan," ujar Tuan Guru Abdul Hadi ketika berucap pada Majlis Memperingati 30 Tahun Syuhada Memali di pekarangan Madrasah Islahiah Diniah Memali, malam tadi.
 
Turut menyampaikan ucapan ialah Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi,  Pengerusi Lembaga Pengarah Madrasah Islahiah Diniah, Datuk Muhammad Yusuf Hussin dan adik As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya, Dr Mohd Rusdi Mahmud.

Beliau turut menyampaikan cenderahati kepada waris para syuhada Peristiwa Memali.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, pendekatan secara nasihat turut diajarkan oleh Rasulullah SAW supaya manusia mengikut Islam.

Jelasnya, apabila kita menasihati dan menyuruh manusia mengikut cara Islam dan mereka mengikutinya, maka kita mendapat pahala walaupun sudah meninggal dunia.

"Nabi SAW menyuruh umatnya buatlah macam mana untuk mengajak sebanyak mana orang mengikut Islam," ujar beliau.

Menurut beliau, pendekatan melalui pilhan raya adalah satu usaha PAS untuk memujuk orang Islam yang jahil mengenai agama yang suci itu supaya kembali kepada Islam.

"Menjadi tanggungjawab kita perbetul mereka. Dengan sebab nasihat kita mereka ikut Islam, kita dapat pahala sampai dalam kubur," kata beliau lagi. - HARAKAHDAILY 21/11/2015

Share on Myspace