PAS gesa semak semula urus tadbir YaPEIM

NASRUDIN HASSAN | .

Merujuk kepada jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Senator Dr Asyraf Wajdi di Dewan Rakyat, 17 November lalu, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berpendapat urus tadbir Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) harus disemak semula bagi memastikan institusi Islam itu bebas daripada dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Desakan ini berasas setelah beberapa isu yang melibatkan pengurusan YaPEIM dipersoalkan dan juga pelantikan ahli politik Umno di peringkat pengurusan tertinggi yang boleh dipertikaikan.

Tiada ketelusan maklumat dan berlaku konflik kepentingan sehingga ia telah memalitkan wibawa negatif terhadap perbadanan institusi Islam tersebut.

Meskipun YaPEIM adalah perbadanan di bawah ikatan amanah, namun ia juga merupakan sebahagian daripada milik rakyat yang menyumbang melalui skim caruman gaji pekerja.

Oleh itu, ia wajib bertanggungjawab terhadap isu-isu yang dipersoalkan oleh rakyat.

PAS menggesa pihak kerajaan mengambil iktibar kes Lembaga Tabung Haji dan kes pelaburan dana daripada anak syarikat pelaburan Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

PAS sama sekali tidak menafikan sumbangan YaPEIM dalam membela golongan fakir miskin dan anak yatim di negara ini, namun ia juga bukan satu tiket yang mutlak untuk digunakan bagi membiayai sebarang program tanpa melihat nilai yang sewajarnya.

Walaupun mungkin prosedurnya betul, tetapi moralnya tidak tepat. Urus tadbir ini harus diteliti dengan cermat dan bertanggungjawab.

PAS mahu pihak kerajaan segera melihat semula polisi serta urus tadbir YaPEIM bagi memastikan ia berada pada landasan yang betul.

PAS turut mengalu-alukan laporan audit tahunan YaPEIM didedahkan supaya ia dapat dipertimbangkan oleh rakyat.

PAS dan rakyat tidak akan berkompromi jika berlaku sebarang penyelewengan dan korupsi terhadap YaPEIM. - HARAKAHDILY 21/11/2015

Penulis ialah Ketua Penerangan PAS Pusat, juga Ahli Parlimen Temerloh.

Share on Myspace