MP PAS bangkit jalan runtuh di Hulu Dungun belum dibaiki

WAN HASSAN MOHD RAMLI | .

Terima kasih, Tuan Pengerusi mengizinkan saya membahaskan bajet kementerian dalam B.22 yang melibatkan bekalan di bawah Butiran 020500 – Pendidikan Awal Kanak-kanak.

Dengan jumlah peruntukan yang telah dikurangkan sebanyak anggaran RM27 juta sahaja yang akan diberikan sedangkan ini melibatkan pembangunan insan. Sepatutnya ia juga diberikan perhatian kerana pembangunan insan adalah penting apabila kita meletakkan asas kepada pendidikan awal kanak-kanak kerana untuk peningkatan kemajuan pendidikan, ia bermula daripada tadika, tabika, taska, Pasti dan lain-lain.

Maka tentulah ia memerlukan kepada pembangunan pendidikan di peringkat awal ini diberikan perhatian dan peruntukan yang lebih besar.  

Oleh sebab itu juga kita melihat dalam pembangunan infrastruktur di bawah Butiran 00400 – Pendidikan Awal Kanak-kanak yang diberikan jumlah peruntukan tetapi jika kita lihat dalam pembangunan butiran 30000 di bawah Jabatan Perdana Menteri juga dengan butiran yang sama, asuhan dan didikan awal kanak-kanak.   

Saya pohon penjelasan daripada menteri apakah terma yang digunakan ini berbeza atau dengan maksud yang sama kerana dalam peruntukan pembangunan Butiran 30000 di Jabatan Perdana Menteri juga asuhan dan didikan awal kanak-kanak dan di bawah Pembangunan 00400 juga ialah pendidikan awal kanak-kanak dengan peruntukan yang disediakan.

Oleh itu apabila kita melihat kepada kepentingan pendidikan ini saya pohon supaya dilihat kepada kualiti pendidikan kanak-kanak dengan walaupun berlaku pengurangan peruntukan tetapi dia mestilah membawa kepada maksud tidak berlakunya kekurangan kualiti pendidikan dalam kekurangan peruntukan ini.   

Kedua, ialah berkaitan dengan pembangunan Butiran 02300 – Jalan-jalan Luar Bandar.

Jalan persimpangan di kawasan Hulu Dungun dalam Parlimen Dungun di antara Simpang Empat Kampung Jongok Batu ke Kampung Belimbing dan Kampung Shukor dan Kampung Pasir Raja telah berlaku banyak jalan yang mendap dan sebahagiannya apabila berlakunya banjir pada tahun 2014 dalam bulan November dan Disember secara khusus satu jalan telah bukan sahaja mendap tetapi runtuh mengakibatkan terputus hubungan di antara Kampung Shukor dan Kampung Pasir Raja lalu dibina laluan lencongan sementara yang boleh dilalui oleh hanya satu kereta sahaja atau kenderaan lain.

Sehingga hari ini masih lagi dengan laluan lencongan tersebut tidak diperbaiki. Dibimbangi dengan keadaan cuaca yang ada pada hari ini mujurlah tidak berlaku banjir dalam bulan ini, saya pohon supaya jalan ini diperbaiki segera supaya memudahkan perhubungan jika berlaku sesuatu dan bantuan-bantuan boleh dihulurkan dengan segera.

Tidak sepertimana yang berlaku dalam banjir 2014 bulan November dan Disember mengakibatkan terputus hubungan sehingga bantuan terpaksa dilakukan melalui air sungai, sungai yang pada waktu itu sangat deras dan sangat laju dengan air banjir. Peningkatan air yang berlaku dengan mendadak.

Oleh itu perlu diberi perhatian kepada jalan yang ada ini supaya diperbaiki dan dibaik pulih kerana ini telah mengambil masa lebih kurang setahun tidak diperbaiki.   

Ketiga, berkaitan dengan pembangunan 03800 – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah yang kalau kita lihat kepada program 4 di bawah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) ini banyak program yang disusun dan dengan saban tahun peruntukan-peruntukan yang diberikan.

Saya pohon walaupun banyak perkara yang ingin disoalkan tetapi yang pertamanya nyatakan pusat ekonomi yang diusahakan di kawasan desa dalam wilayah Ketengah yang memacu peluang pekerjaan dan kegiatan sumber ekonomi desa yang lebih cekap.

Kedua, berlaku penghijrahan daripada penduduk yang ada dalam kawasan wilayah Ketengah ini maka dipohon apakah daripada perancangan yang telah disusun ini iaitu bilangan penduduk yang ada yang telah meningkat hasil pendapatan mereka dalam bidang keusahawanan.    

Ketiga, jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar secara khusus dalam wilayah Ketengah. Apakah program-program yang telah dilaksanakan dan yang dirancang untuk dilaksanakan?  Keempat, secara khusus status pulau bebas cukai dalam pembangunan di Tasik Kenyir dalam wilayah Ketengah apakah status kedudukannya hari ini? - HARAKAHDAILY 22/11/2015

Ucapan Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli semasa membahas Bajet 2016 Peringkat Jawatankuasa Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Dewan Rakyat pada 19 November 2015.

Share on Myspace