Adakah pelajar MRSM terjejas kerana bajet kurang?

USTAZ IDRIS AHMAD | .

Saya hendak menyentuh berkenaan dengan B.22 Butiran 010700 – Kesejahteraan Rakyat. Jadi di sini dipaparkan berkenaan dengan program bantuan rumah sebanyak 23,217 buah rumah.

Saya hendak mendapat penjelasan, berapa ramaikah bantuan untuk rumah di kawasan Parlimen Bukit Gantang pada tahun 2014?    

Keduanya ialah berkenaan dengan hendak beri bantuan rumah rakyat ini, kebanyakan yang kita lihat ialah masalah rakyat ini memang tidak ada tanah. Memang tidak ada tanah.

Jadi apabila kita pergi jumpa Baitulmal, Baitulmal kata boleh beri tetapi tidak ada tanah.

Jadi kita harapkan supaya pihak PLB ini dapat memudahkan dengan hendak pastikan melalui proaktif daripada kerajaan negeri, untuk pastikan supaya menyediakan tanah, tapak rumah bagi diberikan kepada mereka yang memerlukan bantuan rumah. Kadang-kadang pihak kementerian boleh beri, sedangkan hendak bina rumahnya tidak boleh. Itu nombor satu.   

Keduanya ialah B.22 Butiran 020500 – Pendidikan Awal Kanak-kanak. Berlakunya kekurangan yang amat mendadak, lebih kurang dekat RM13 juta kurang berbeza dengan tahun 2015.

Saya agak terkejut apabila yang dilaporkan oleh Yang Berhormat Parit Sulong yang mengatakan bahawasanya pembantu elaun guru-guru di kalangan guru Kemas hanyalah RM400 sahaja.

Saya agak simpati kerana tidak sepatutnya berlaku. Ini bukan di bawah paras miskin, ini sudah sampai kepada tahap yang agak daif.

Kalau berlaku RM400 itu agak sedih, sepatutnya tidak berlaku begitu. Macam mana mereka hendak menumpukan kepada pendidikan awal, kelas kepada kanak-kanak. Lebih lagi pula tahun ini kurang sebanyak RM13 juta yang melibatkan untuk pendidikan awal kanak-kanak.    

Begitu juga saya juga hendak menyentuh berkenaan dengan soal sejauh manakah kajian yang telah dibuat terhadap pelajar-pelajar yang keluar daripada pendidikan Kemas ini.

Ini kerana di sana ada sedikit kemusykilan ataupun tahap pencapaian aras di kalangan pencapaian kanak-kanak yang belajar di sini dilaporkan tidak berapa memberangsangkan.  

Jadi, kita minta supaya ada satu kajian yang dibuat sama ada benar ataupun tidak.

Akhir sekali ialah berkenaan dengan B.22 Butiran 090000 – Majlis Amanah Rakyat (Mara). Ini juga berlaku sedikit kekurangan bajetnya.

Saya hendak tanya ialah, adakah kekurangan bajet ini satunya menjejaskan juga daripada segi soal bantuan untuk mereka yang hendak mengambil pinjaman Mara sama ada dalam bentuk pinjaman kecil.   

Keduanya ialah berkenaan dengan pinjaman pelajaran dan yang ketiganya ialah berkenaan dengan kualiti makanan pelajar-pelajar di bawah MRSM.

Adakah dengan kekurangan bajet ini yang menyebabkan terjejasnya pelajar-pelajar kita belajar di sana? - HARAKAHDAILY 22/11/2015

Ucapan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad semasa membahas Bajet 2016 Peringkat Jawatankuasa Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Dewan Rakyat pada 19 November 2015.

Share on Myspace