Sultan Johor berkenan ringan hukuman 4 banduan

BERNAMA | .

NUSAJAYA: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan memberi peringanan hukuman kepada empat banduan yang menjalani hukuman mati kepada penjara seumur hidup bersempena Hari Keputeraan baginda.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Ismail Karim berkata dua daripada mereka merupakan banduan yang melakukan kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala dua lagi melakukan kesalahan mengedar dadah menurut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Dua banduan yang dihukum atas kesalahan membunuh itu sedang menjalani hukuman di Penjara Pokok Sena di Kedah dan di Kluang manakala dua yang dihukum atas kesalahan mengedar dadah sedang menjalani hukuman di Penjara Simpang Renggam," katanya kepada pemberita di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini.

Ismail berkata Sultan Ibrahim berkenan mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri Johor pada 16 Nov lepas.

Mesyuarat terbabit turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali serta tiga orang anggota Lembaga Pengampunan Negeri Johor yang dilantik Sultan Johor.

Beliau berkata mesyuarat itu telah mempertimbangkan 30 kes rayuan iaitu empat kes rayuan hukuman gantung mati berkenaan dan 26 kes rayuan Kajian Hukuman Empat Tahun Sekali (KHETS).

Katanya bagi 26 kes KHETS itu, Sultan Ibrahim telah menitahkan hukuman ke atas mereka dikekalkan dan antara kesalahan yang dilakukan termasuk samun berkawan dengan menggunakan senjata, memiliki dadah berbahaya, rogol serta sumbang mahram.

"Empat banduan yang diringankan hukuman itu pula diharapkan dapat menggunakan peluang tersebut bagi pemulihan dan pembangunan diri supaya menjadi insan berguna kepada masyarakat dan negara," katanya. - Bernama

Share on Myspace