Penjualan aset-aset tenaga 1MDB

PIARAPAKARAN S | .

Dalam beberapa minggu yang lepas, penjualan aset-aset tenaga 1MDB telah dilaporkan secara meluas oleh media dengan pelbagai isu telah diutarakan.

Walau bagaimanapun, Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) ingin mengutarakan beberapa isu untuk perhatian kerajaan bagi memastikan jaminan tenaga Malaysia dibela dan dilindungi.

1. Had pemilikan ekuiti asing - ikut peraturan yang ditetapkan

Tiada pemansuhan had pemilikan ekuiti asing apabila bidaan penjualan aset-aset tenaga IMBD ditutup pada 16 Oktober 2015. Menteri KeTTHA juga dipetik oleh media pada 5 November 2015 yang menyatakan bahawa kerajaan masih membincangkan isu berkaitan dengan had pemilikan ekuiti asing.

Walau bagaimanapun, isu had pemilikan ekuiti asing ini telah dilaporkan secara meluas di dalam dan luar negara bahawa Malaysia mempunyai had pemilikan ekuiti asing sebanyak 49% bagi sektor penjanaan elektrik kita sebelum bidaan penjualan aset-aset tenaga IMBD ditutup.

Maka, mana-mana entiti yang menyertai bidaan ini mesti mematuhi dasar ini dan kerajaan tidak perlu melayan sebarang permintaan untuk menukar dasar bagi mengelakkan menetapkan dahuluan (precedence) yang tidak baik dalam industri.

2. Penjualan hak pembangunan projek loji janakuasa untuk pulangan kewangan memudaratkan sektor tenaga elektrik

Berdasarkan Penyata Rasmi parlimen pada 16 November 2015 (DR-16.11.2015), menteri kewangan kedua telah menyatakan, "Kita ada lima sahaja IPP yang terlibat dengan Edra. Lima sahaja, yang lain di luar negara. Jadi yang lima ini satu tahun 2016 akan tamat, kalau dia buli kita Energy Commission tidak akan sambung lagi concession. Yang lagi satu 2021, 2023, 2026, dan 2033."

Akan tetapi, berdasarkan maklumat yang diterima oleh AWER, Track 4B yang merupakan turbin gas kitaran bersepadu (CCGT) 2000 MW di Melaka dan 10 x 50MW loji janakuasa solar skala utiliti yang dianugerahkan melalui rundingan terus kepada 1MDB tahun lepas telah termasuk dalam penjualan aset-aset tenaga 1MDB.

Loji-loji janakuasa ini masih belum dibina. Sekarang, kerisauan terburuk AWER bahawa pemilik projek loji janakuasa menjual hak pembangunan projek untuk pulangan kewangan telah menjadi kenyataan.

Adakah Suruhanjaya Tenaga telah meluluskan penjualan hak pembangunan projek loji janakuasa untuk pulangan kewangan sebegini?

Jika ya, tindakan oleh Suruhanjaya Tenaga ini adalah bertentangan dengan fungsi-fungsi dan tanggungjawab-tanggungjawabnya yang termaktub di dalam Akta Suruhanjaya Tenaga dan Akta Bekalan Elektrik.

Pada masa yang sama, jika penjualan hak pembangunan projek loji janakuasa untuk pulangan kewangan dibenarkan, ini akan membuka ruang bagi permohonan yang sama daripada pemilik Track 4A (1000 MW - 1400 MW CCGT) yang pembinaannya tertangguh untuk menjual hak membangunkan loji janakuasa kepada entiti lain untuk pulangan kewangan yang cepat.

3. Analisis kos-faedah (cost-benefit) adalah perlu

Memandangkan laporan berita yang memetik menteri KeTTHA berkata bahawa kerajaan masih membincangkan isu berkaitan dengan had pemilikan ekuiti asing, AWER mempunyai satu soalan untuk kerajaan: Adakah kerajaan telah melaksanakan kedua-dua analisis kos-faedah jangka pendek dan jangka panjang untuk 100% pemilikan ekuiti asing bagi aset-aset strategik negara seperti loji-loji janakuasa?

Ini kerana, jika pembida asing memenangi bidaan penjualan aset-aset tenaga 1MDB dan had pemilikan ekuiti asing dikecualikan, ia bermakna hampir 18% aset-aset penjanaan tenaga elektrik negara akan dikuasai oleh syarikat asing. [Kapasiti terpasang aset tenaga 1MDB yang sedia ada di Malaysia adalah 3112 MW dan tambahan 2500 MW loji janakuasa yang belum dibina (CCGT Melaka dan projek solar) juga termasuk dalam pembidaan semasa.]

Dalam kebanyakan kes, pelabur-pelabur asing akan membawa bersama rantaian bekalan (supply chain) mereka ke negara yang mereka melabur.

Oleh itu, kerajaan perlu menangani isu-isu berikut melalui analisis kos-faedah jangka pendek dan jangka panjang dengan membandingkan kedua-dua pemilikan tempatan dan asing:

I. Pelaburan Asing Langsung yang akan dibawa masuk;

II. Peluang pekerjaan yang baru yang diwujudkan bagi rakyat;

III. Impak kepada pembekal-pembekal atau pengeluar-pengeluar tempatan kita dari huluan (upstream) hingga hiliran (downstream) industri memandangkan pelabur-pelabur asing berkemungkinan membawa masuk rantaian bekalan mereka; dan

IV. Pendapatan sebenar yang akan dihasilkan untuk Malaysia.

Hasil-hasil kuantitatif analisis kos-faedah ini mesti diterbit dan dikongsi dengan semua pihak berkepentingan secepat mungkin untuk memastikan kepentingan rakyat dan negara dilindungi. - HARAKAHDAILY 22/11/2105

Penulis ialah Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER).

Share on Myspace