Serpihan: PAS Bukit Katil berpijak kepada realiti

HARAKAHDAILY | .

Ramli (dua dari kanan) bersama rakan-rakan bersarapan di homestay Ulu Legong.

BALING: PAS Kawasan Bukit Katil beristiqamah dengan keputusan pemimpin parti yang masih meneruskan hubungan dengan PKR.

Sehubungan itu, Yang Dipertua PAS kawasan, Ramli Dalip berkata, pihaknya akan terus menjalinkan hubungan dan bekerjasama dengan rakan tahaluf itu untuk mempertahankan kemenangan PAS di Dun Bukit Baru dan PKR di Parlimen Bukit Katil.

Katanya, pihak PAS kawasan telah menyusun dan mengadakan berbagai program untuk tujuan itu.

"Kami mengadakan aktivit bersama dengan golongan veteran PAS kawasan dan negeri melalui program Jasamu Dikenang yang diadakan di Bukit Katil," ujarnya ketika ditemui di homestay Ulu Legong, kira-kira 20 kilometer dari sini, kelmarin. Beliau bersama beberapa pemimpin PAS kawasan menginap di situ bagi mengikuti Majlis Memperingati 30 Tahun Syuhada Memali.

Beliau juga melahirkan rasa gembira dengan penyertaan masyarakat pada program untuk mengumpul dana menghadapi pilihan raya umum ke-14 akan datang.

"Alhamdulillah, program yang kita adakan mendapat sambutan hebat dan kita terus mengadakan aktiviti penerangan kepada masyarakat," ujarnya lagi.

Justeru, katanya dakwaan golongan serpihan bahawa PAS kawasan bermasalah adalah tidak berpijak kepada realiti.

Menurutnya, apabila kepimpinan baharu mengambil alih jawatan, sembilan cawangan PAS dalam kawasan itu terus bersama dengan PAS kawasan.

"Fokus kita adalah untuk mempertahankan Dun Bukit Baru dan Parlimen Bukit Katil di mana kita turun padang melalui program yang telah disusun di samping untuk menambah ahli PAS yang baharu.

"Insya Allah perjuangan kita tidak surut sebaliknya akan membangkitkan gelombang kesedaran masyarakat setempat bersama kita," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 22/11/2015

Share on Myspace