Tindakan Bangladesh usaha hapuskan Gerakan Islam

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI | .

وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ

"Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki." [Surah Ali-Imran: 169]

Tindakan rejim Bangladesh di bawah Presiden Abdul Hamid melaksanakan hukuman mati kepada pimpinan Jamaat e-Islami Bangladesh adalah perbuatan kejam dan zalim.

Sekiranya dengan tindakan itu mereka menyangka akan melumpuhkan perjuangan Islam, kami di seluruh dunia mengimani bahawa itulah kemuncak kegemilangan perjuangan kami. Ia tidak akan sesekali mematikan Gerakan Islam sebagaimana ayat surah Ali Imran yang dinyatakan.

Dunia hari ini menjadi saksi, penggantungan mati Setiausaha Agung Jamaat e-Islami Bangladesh, Syeikh Ali Ahsan Muhammad Mujahid sebagai senarai rentetan usaha Kerajaan Bangladesh mengekang kebangkitan Islam di negara itu.

Kerajaan Bangladesh sebelum ini telah pun menggantung beberapa orang pimpinan Jamaat e- Islami seperti As-Syahid Syeikh Abdul Qader Mullah pada 12 Disember 2012 dan As-Syahid Kamaruzzaman pada 11 April tahun ini.

Mereka telah dihadapkan dengan tuduhan jenayah perang, sedangkan yang diperjuangkan mereka adalah tuntutan kemerdekaan dengan Pakistan pada tahun 1971. Inilah adu domba, fitnah dan usaha memburukkan imej Islam di sepanjang zaman sebagai tindakan mengekang kebangkitannya.

Tindakan Bangladesh itu juga dilihat usaha mengekang pengaruh pihak-pihak yang tidak sealiran mereka lantaran turut menjatuhkan hukuman gantung tersebut kepada pemimpin pembangkang lain antaranya dari Parti Nasionalis Bangladesh, Salahuddin Quader Chowdhry.

Tindakan seperti ini hanyalah menggambarkan ketakutan rejim untuk mengekalkan kuasa, hakikatnya sebagaimana lakaran sejarah yang berulang, kebangkitan pasti berlaku menyah tirani dari singgahsananya.

Masyarakat dunia perlu melihat secara tenang dan adil betapa usaha menuduh Islam sentiasa diulang-ulang, tetapi hakikatnya Islam, umatnya serta pihak-pihak yang berjuang mempertahankan agama keamanan inilah menjadi mangsa kepada kezaliman dilakukan.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahad, 22 November 2015 | 10 Safar 1437H - HARAKAHDAILY 22/11/2015

Share on Myspace