Obama tidak hormat dasar bernegara Malaysia

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

Perkahwinan sejenis bukan satu hak tetapi ia satu pencabulan hak kemanusiaan dan hak ketuhanan.

Tuhan tidak mencipta lelaki untuk berkahwin sesama lelaki atau perempuan sesama perempuan. Ia adalah perlakuan songsang yang cuba dihalalkan atas nama undang-undang dan hak asasi manusia.

Apabila Obama secara terbuka mengajak rakyat Malaysia menghormati kononnya "hak perkahwinan sejenis" ia menggambarkan betapa songsangnya cara berfikir Presiden Obama yang bercanggah dengan naluri kemanusiaan yang normal.

Obama juga tidak belajar untuk menghormati norma, dasar dan asas bernegara sesebuah negara. Malaysia adalah negara yang menegaskan "Islam agama Persekutuan".

Negara ini adalah negara beragama yang meletakkan antara Rukunegaranya ialah "kepercayaan kepada Tuhan". Agama mana yang mempercayai kewujudan Tuhan yang membenarkan perkahwinan sejenis?

Adil pada perhitungan Obama ialah apabila memberi hak kepada semua kehendak dan tuntutan rakyat meskipun songsang. Sedang adil yang sebetulnya ialah memberikan hak kepada yang berhak.

Adakah setiap insan mempunyai hak untuk berkahwin sesama jenis?

Jawapannya, tidak. Hak mereka ialah untuk berkahwin antara lelaki dan perempuan dan bukannya berkahwin sesama jenis yang merupakan perlakuan songsang seorang manusia.

Itu bukannya "hak", tetapi pencabulan hak kemanusiaan dan pencabulan "hak" Tuhan yang tidak mencipta manusia untuk itu.

Kita perlu mengiktiraf hak kemanusiaan untuk hidup berasaskan lunas-lunas normal kemanusiaan bukannya mengiktiraf manusia untuk berkelakuan songsang daripada norma kemanusiaan. - HARAKAHDAILY 23/11/2015

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Share on Myspace