TPPA, penjajahan bentuk baru tajaan Amerika

USTAZ MUHAMMAD ISMI MAT TAIB | .

MALAYSIA sebagai sebuah negara berdaulat, merdeka dan bertamadun perlu dibangunkan dengan cara yang berdaulat, merdeka dan bertamadun. Atas alasan apa sekalipun, rundingan TPPA perlu segera dihentikan.

Amerika bukanlah negara yang layak dijadikan contoh dalam pengurusan ekonomi, malah mereka mencatat hutang negara paling tinggi di dunia. Ibarat berpaut pada dahan yang rapuh, kerjasama dan bantuan perdagangan oleh Amerika hanya akan menenggelamkan Malaysia dalam arus kegawatan ekonomi dunia ketika ini.

Amerika bukan sahaja gagal dalam aspek ekonomi, bahkan negara Uncle Sam terkenal sebagai penjenayah antarabangsa Nomnor satu paling kejam dan rakus di dunia. Di tangan Amerika gugurnya ratusan ribu nyawa umat Islam di seluruh dunia.

Propaganda Anti-pengganas yang dimulakan oleh Amerika membawa kepada siri serangan keganasan yang akhirnya menghancur-ranapkan negara umat Islam seperti yang telah dan sedang berlaku Iraq, Afghanistan, lebih-lebih lagi di Palestin, iaitu jutaan umat Islam terus ditindas dan dizalimi kononnya Amerika dilihat sebagai pihak pendamai.

Krisis kemanusiaan yang dimulakan oleh Negara Sekular Kapitalis ini tidak pernah semakin baik, bahkan terus-menerus berlaku sekalipun kononnya sejarah terlakar apabila Barrack Obama, manusia kulit hitam pertama menjadi Presiden Amerika. Belum ada tanda surut keganasan antarabangsa, Obama kini kiat pula memujuk dengan paksa negara-negara kerdil untuk menerima penjajahan dari sudut ekonomi.

Atas alasan apakah pujuk rayu musuh utama keamanan dunia ini perlu dimakan oleh pemimpin di Malaysia? Tidakkah ada secubit rasa sedih akibat nasib yang menimpa umat Islam angkara Amerika dan sekutu?

Apakah jaminan kerjasama perdagangan ini akan mendatangkan keuntungan buat negara khususnya rakyat, ketika Obama menjamin akan berlakunya kenaikan harga ubat, bahkan sudah tentu pelbagai kenaikan harga akan terpaksa dihadapi oleh rakyat?

Rundingan ini bukan sahaja mencemarkan kedaulatan negara, menjejaskan kestabilan ekonomi rakyat, bahkan yang paling kritikal kerjasama ini benar-benar merobek jiwa umat Islam dan manusia seluruhnya yang menyaksikan kekejaman dan kezaliman Amerika menindas negara umat Islam atas nama keamanan.

Keamanan, kedaulatan, dan kestabilan ekonomi negara akan lebih terjamin jika pemimpin negara kembali melaksanakan Islam. Islam adalah cara hidup sebenar yang mampu menyelamatkan dunia, negara dan rakyat negara ini dari belenggu kegawatan ekonomi, kebejatan sosial, dan keruntuhan sistem politik dan perundangan.

Ayuh, bersama memerangi keganasan, perangi dan hindari perancang utama keganasan dunia. Hentikan segera rundingan maut TPPA ini. – HARAKAHDAILY 23/11/2015

Penulis ialah Ketua Lajnah Antarabangsa Dewan Ulama PAS Pusat

Share on Myspace