Cadangan untuk belia yang mahu beli rumah

SALKUKHAIRI ABD SUKOR | .

BELIA adalah antara golongan yang paling terkesan dengan masalah kenaikan harga rumah. Masih ramai belia yang belum mampu memiliki rumah sendiri, khususnya mereka yang bekerja di bandar-bandar besar.

Justeru, untuk mengatasi masalah tersebut, Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) mencadangkan beberapa langkah yang perlu diambil segera, sama ada di pihak belia itu sendiri mahupun di pihak kerajaan.

Di antaranya termasuklah:-

Belia disarankan membeli rumah lelong kerana adakalanya harga lelongan yang ditawarkan adalah di dalam kategori harga mampu milik.

Kerajaan diminta untuk mewujudkan skim pembelian rumah secara sewa beli khusus untuk golongan belia.

Bank hendaklah mewujudkan skim pinjaman atau dana khas kepada golongan belia untuk membeli rumah dan mempermudahkan proses kelulusan pinjaman tersebut. Setakat ini BSN telah mula mewujudkan skim sedemikian. Bank-bank lain juga harus turut serta berbuat demikian.

Belia disarankan untuk membeli rumah di tempat mana mereka ingin menetap selepas pencen. Contohnya, jika kampung halaman mereka di Kuala Lipis, mereka disarankan membeli rumah di Kuala Lipis pada masa ini dengan harga yang masih mampu milik dan sewakan rumah tersebut untuk jana pendapatan sampingan sebelum tiba waktu pencen.

Belia juga disarankan membeli tanah pertanian yang berpotensi secara berkongsi dengan rakan-rakan atau adik-beradik dan menguruskan sendiri proses pecah lot tanah pertanian tersebut menjadi tanah lot banglo untuk didirikan rumah di atasnya kelak. Cara ini lebih murah dan menjimatkan berbanding beli tanah lot yang telah ada geran individu.  

Kerajaan juga digesa supaya lebih telus dan efisyen mempromosikan Skim Perumahan Mampu Milik dalam kalangan belia dan mengurangkan kerenah birokrasi dalam proses pemilihan untuk mempastikan lebih ramai belia yang layak memperolehi skim perumahan  tersebut.

Kerajaan perlu bina rumah mampu milik untuk belia di kawasan yang mudah mendapat pengangkutan awam misalnya berdekatan dengan stesen LRT dan sebagainya. Ia membolehkan belia mampu berjimat dengan menggunakan pengangkutan awam untuk pergi ke mana-mana. – HARAKAHDAILY 23/11/2015

Share on Myspace