Gubal akta, beri kuasa DBP martabat Bahasa Melayu

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melahirkan rasa kebimbangan terhadap ketidakseriusan penggunaan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan, perundangan, bahan percetakan dan komunikasi rasmi serta yang lebih utama ialah dalam sistem kenegaraan seperti di institusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun).
 
Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi justeru menjadikannya sebagai bahasa negara seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang diperkukuhkan lagi dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 sepatutnya telah difahami dan dihayati oleh semua lebih-lebih lagi oleh ahli-ahli Parlimen dan ahli-ahli Dun.

"Menyedari akan kepentingan Bahasa Melayu ini untuk dimartabatkan khususnya bagi mengukuhkan keharmonian dan perpaduan kaum di negera ini, DPPM mencadangkan agar suatu akta digubal bagi memperkasakan penggunaan bahasa ini dan bagi menguatkuasakan undang-undang terhadap pihak yang gagal untuk melaksanakannya di sektor masing-masing," ujar Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional dan Hubungan NGO DPPM, Mohamad Ibrahim.

Menurutnya, kerajaan juga sepatutnya memberikan hak dan lebih kuasa kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam menguatkuasakan dan mengawal selia penggunaan Bahasa Melayu di negara ini.

Tambahnya, DPPM menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang berkhidmat dalam pelbagai bidang dan mempunyai kedudukan pada bermacam-macam peringkat agar mengusahakan suatu inisiatif jangka panjang bagi memartabarkan Bahasa Melayu.

DPPM juga ingin menyatakan rasa kesal dan kecewa terhadap tindakan Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) yang terus berucap dengan menggunakan Bahasa Inggeris sedangkan beliau tidak mendapatkan izin daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk berbuat demikian tempoh hari, katanya.

"Perbuatan tersebut hanya menyerlahkan sikap tidak menghormati Akta Bahasa Kebangsaan 1957 dan Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat," ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, tambahnya DPPM berharap ia tidak akan diulangi lagi oleh ahli-ahli Parlimen yang lain. - HARAKAHDAILY 23/11/2015

Share on Myspace