Isu alam sekitar, PAS sedia kerjasama

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: PAS memandang serius isu alam sekitar yang sehingga kini tiada penyelesaian sepenuhnya daripada kerajaan terutamanya membabitkan masalah jerebu, pembinaan insinerator, tanah runtuh di Cameron Highland dan perlombongan Bauksit di Kuantan.

Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (Latas), Muhammad Sanusi Md Nor ketika penyerahan memorandum kepada Ahli Parlimen PAS di lobi Parlimen hari ini berkata, parti itu bersedia memberi khidmat nasihat bagi melindungi rakyat.

"Peranan PAS adalah untuk melindungi keselamatan dan kesihatan rakyat, PAS menawarkan khidmat nasihat dan bantuan kepada agensi yang berkaitan.

"Kita bantu dari segi perbincangan dan khidmat bakti di lapangan jika perlu, agar semua isu berkenaan dapat diatasi sepenuhnya demi kebaikan rakyat dan negara," katanya.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu turut menyeru agar kerajaan yang sedia ada lebih terbuka untuk menerima teguran dan kritikan membina daripada rakyat demi kepentingan bersama.

"Memandangkan kelima-lima isu yang dibangkitkan PAS termasuk dua Projek Nuklear yang sedang dirancang menjelang 2021 dan 2022, mengundang implikasi yang besar kepada rakyat dan negara.

"PAS pada hari ini telah mengambil keputusan untuk menyerahkan satu memorandum agar kerajaan yang sedia ada dapat menilai kesungguhan dan keterbukaan PAS untuk duduk berbincang dengan semua agensi serta kementerian agar penyelesaian secara bersama dan konstruktif dapat dirangka dan dilaksanakan dengan lebih baik dan berkesan," katanya lagi ketika menyerah memorandum kepada Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau berharap dengan peringatan dan pandangan daripada PAS melalui memorandum ini dapat diambil perhatian dan tindakan oleh semua pihak yang terlibat.

Tambah beliau, PAS akan terus mengambil posisi sebagai pemantau dan kumpulan pendesak utama kepada setiap permasalahan rakyat di negara ini. – HARAKAHDAILY 23/11/2015

Share on Myspace