Rakyat megah kejayaan Sidang Kemuncak Asean

TAN SRI ABDUL KADIR SHEIKH FADZIR | .

Sudah semestinya seluruh negara sepatutnya turut megah di atas kejayaan Sidang Kemuncak Asean dan Sidang Kemuncak berkaitan yang diadakan di ibu negara, Kuala Lumpur yang indah. Dari laporan media jelaslah acara-acara tersebut telah disediakan dengan cukup cekap dan teliti dan dilaksanakan dengan sangat cemerlang. Ianya adalah suatu peristiwa di mana seluruh rakyat Malaysia harus mengenepikan segala perbezaan politik dan sebagainya dan merayakan bahawa, sekurang-kurangnya untuk seketika, negara kita telah menjadi tumpuan sanjungan oleh seluruh dunia dan kita dapat pamerkan kepelbagaian dan citrawarna seluruh rakyat kita serta kesepaduan dan kejayaan yang kita telah capai.

Untuk sekian lama perasaan kemegahan kita terhadap negara dan bangsa nampaknya telah meninggalkan kita. Untuk sekian lama kita terpaksa berdepan dengan berbagai kontroversi yang melemahkan kita dalam berbagai bidang politik, ekonomi, matawang Malaysia dan juga dalam kesukanan dan semuanya ini tersebar di seluruh dunia.

Rakyat Malaysia begitu dahagakan sesuatu yang boleh mengembalikan semula keyakinan kita selaku Bangsa Malaysia dan kepada Malaysia. Adalah sesuatu yang seharusnya menjadi kemegahan kepada semua bahawa deklarasi, komuniti Asean dan titian Asean sehingga 2025, semuanya tercapai di ibu negara kita dan dengan penuh kecekapan, kegemilangan dan muhibbah.

Kuala Lumpur dan Malaysia tetap akan tercatat dalam sejarah kerana keputusan-keputusan bersejarah ini. Semua yang bertanggungjawab telah menjayakan usaha tersebut dengan kecekapan yang sangat tinggi dan khususnya cara kita menyambut dan melayani pemimpin-pemimpin besar Asean dan khususnya Ketua-Ketua Kerajaan dari kuasa-kuasa besar USA, China, Rusia, India, Jepun, Korea, Australia dan New Zealand.

Parti Ikatan Bangsa Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Perdana Menteri, Menteri Luar Negeri dan semua pegawai-pegawai yang berkaitan di atas kejayaan yang bersejarah ini dan ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada mereka kerana telah mengembalikan kepada kita kemegahan dan keyakinan kepada Bangsa Malaysia dan negara Malaysia. Malah Datuk Lee Chong Wei, jaguh badminton kita, juga sedang memperolehi kemenangan demi kemenangan bersejarah. Teruskan Malaysia. Kita memerlukannnya. - HARAKAHDAILY 23/11/2015

Penulis ialah Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia.

Share on Myspace