Pulihkan industri teksi haramkan Uber, Grabcar

HISHAMUDIN ABDUL KARIM | .

Industri teksi di negara ini telah sekian lama dilanda masalah; daripada aspek mutu perkhidmatan sehinggalah kepada aspek sistem pajakan teksi syarikat yang digunapakai sekarang.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang ditubuhkan pada 2010 bagi meningkatkan sistem pengangkutan awam negara pula dilihat gagal menangani isu ini secara berkesan.

Terkini, isu membabitkan "pemandu teksi haram" yang menggunakan sistem aplikasi Uber dan Grabcar yang beroperasi terutamanya di Kuala Lumpur telah benar-benar menjejaskan pendapatan pemandu-pemandu teksi "sah" yang beroperasi di Lembah Klang sehinggakan pemandu-pemandu teksi ini mengadakan perhimpunan di Padang Merbok dan menyerahkan memorandum bantahan di Parlimen.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mahu agar masalah yang melanda industri teksi ini diselesaikan secara menyeluruh tidak terhad hanya kepada isu perkhidmatan Uber dan Grabcar sahaja bagi mengembalikan mutu industri teksi di negara ini ke tahap yang lebih baik daripada sekarang.

DPPM mendesak agar SPAD bersikap adil, tidak menyalahkan mana-mana pihak serta berusaha memulihkan serta memajukan semula industri teksi ini supaya lebih berdaya saing dan semua pihak mendapat manfaat daripadanya.

Justeru, DPPM menyarankan kepada SPAD dan kerajaan:

(a) Memberikan permit teksi kepada individu dan memansuhkan secara berperingkat pemberian permit teksi kepada syarikat-syarikat.

(b) Memastikan syarikat-syarikat teksi tidak sewenang-wenangnya mengenakan pajakan atau sewa beli yang tinggi kepada pemandu teksi.

(c) Memastikan hak pemandu teksi seperti caruman perkeso, insurans kesihatan, cuti sakit dan lain-lain terbela.

(d) Mewujudkan suatu mekanisme penilaian syarikat-syarikat teksi seperti sistem mata atau KPI supaya industri teksi dapat mencapai sasaran pengguna dan Kerajaan serta mewujudkan persaingan yang sihat.

(e) Mewujudkan suatu ‘Standard Operating Procedure’ kepada semua syarikat dan pemandu teksi serta memastikan syarikat-syarikat serta pemandu teksi memenuhi dan mematuhi standard atau piawaian tersebut.

DPPM berharap agar Kerajaan melalui SPAD dapat menyelesaikan isu ini sesegera yang mungkin.

DPPM juga ingin menyatakan sokongan terhadap tuntutan yang dibuat oleh pemandu-pemandu teksi agar Uber dan Grabcar diharamkan bagi melindungi pemandu-pemandu teksi. - HARAKAHDAILY 24/11/2015

Penulis ialah Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Prihatin Rakyat DPPM.

Share on Myspace