'Kereta sapu' Lembah Klang menekan pemandu teksi

HAFIZAH TAN | SUZIELA CHE MAT | .

KUALA LUMPUR: Kewujudan 'kereta sapu' di Lembah Klang amat menekan pemandu teksi yang mendakwa ia bukan sahaja menjejaskan pendapatan mereka tapi turut menggalakkan wujudnya pengendali kereta sapu tanpa kawalan.

Mereka mendakwa kewujudan kereta sapu seperti GrabCar dan Uber yang tidak memerlukan permit selain tidak mengikut piawaian pengangkutan awam, turut menarik pelajar universiti yang hanya memegang lesen pemandu P untuk ikut serta membawa penumpang.

Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang Zailani Isausuludin menggesa pihak berkuasa agar bersikap proaktif dalam mengendalikan isu lambakan perkhidmatan kereta sapu yang jelas tidak mengikut piawaian pengangkutan awam.

Jika tiada tindakan diambil, beliau percaya ramai pemandu teksi yang sah akan bertukar kerjaya dengan menjadi pemandu kereta sapu kerana tidak perlu menanggung kos yang tinggi seperti membayar permit dan menyewa kenderaan khas untuk membawa teksi.

Ketika ditemui Bernama baru-baru ini, Zailani berkata setiap tahun pemandu teksi terpaksa memanggung beban kewangan lebih RM30,000 termasuk membaharui lesen memandu, menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan, sewa teksi, memperbaharui permit dan penyelenggaraan kenderaan.

Beliau berkata pemandu teksi juga perlu memastikan pemeriksaan kenderaan mereka dilakukan dua kali setahun di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk mengesahkan kenderaan dalam keadaan selamat untuk digunakan.

Selain itu, mereka juga perlu membayar deposit kereta lebih RM6,000, selain bayaran sewa antara RM57 hingga RM65 setiap hari.

"Sekiranya pemandu teksi tidak dapat bekerja kerana sakit, bayaran sewa masih perlu dilunaskan malah jika tiada bayaran dalam tempoh 14 hari, teksi akan ditarik syarikat dan duit deposit dianggap hangus," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD), Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bertindak tegas terhadap kereta sapu ini.

SKMM juga, katanya, perlu mengharamkan aplikasi seperti GrabCar dan Uber yang secara tidak langsung menggalakkan anak-anak muda mencari sumber pendapatan dengan cara salah di sisi undang-undang.

"Saya lihat Uber dan GrabCar juga secara terang-terangan mengiklankan aplikasi mereka di internet, kenapa tiada tindakan apa-apa pun diambil, bukankah ia salah di sisi undang-undang," katanya.

Zailani berharap SPAD dapat menangani perkara ini secara menyeluruh dan bukannya secara bermusim kerana "isu ini sudah menjadi semakin buruk sehingga ada berlaku pergaduhan antara pemandu teksi dan kereta sapu ini."

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor Datuk Aslah Abdullah berkata isu ini perlu dipandang serius dan diselesaikan dengan segera kerana ia melibatkan keselamatan orang ramai.

"Perkhidmatan tanpa permit ini perlu dihentikan kerana tidak memberi jaminan keselamatan kepada orang awam sekiranya berlaku kemalangan lebih-lebih lagi jika melibatkan kematian.

"Pemandu teksi yang sah akan memastikan aspek keselamatan penumpang berada di tahap optimum. Namun bagaimana kita mahu jamin penumpang selamat jika perkhidmatan tanpa permit ini tidak perlu melalui pemeriksaan dan mendapat pengesahan daripada Puspakom," katanya.

"Lebih teruk lagi ada antara pemandu GrabCar ini adalah pemandu teksi yang telah ditarik lesen dan permit memandu teksi atas kesalahan jalan raya dan jenayah. Jadi ia jelas membahayakan keselamatan," dakwa beliau.

SPAD sebelum ini menyatakan walaupun aplikasi Uber dan GrabCar tidak menyalahi undang-undang, namun kesalahan berlaku apabila pemandunya tidak mempunyai lesen Perkhidmatan Pengangkutan Awam. - Bernama

Share on Myspace