Usaha sedang dijalan untuk menutup mulut saya - Tun M

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Saya tidak akan bertanding untuk apa-apa jawatan. Tetapi usaha gigih sedang dijalan untuk menutup mulut saya, untuk menyekat saya dari berjumpa dengan ahli Umno, bahkan orang ramai," kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu menyatakan demikian menerusi tulisan bertajuk Menghadapi Cabaran dalam blognya, hari ini.

Berikut tulisan penuh beliau.

1. Dalam kehidupan manusia, menghadapi cabaran adalah perkara biasa. Sudah tentu jika sesiapa mencebur diri dalam bidang politik, lebih banyak cabaran akan dihadapi. Jika ingin terus dalam bidang politik semua cabaran ini mesti diterima. Mereka yang tidak sanggup menghadapi dan mengatasi cabaran adalah lebih baik tinggal sahaja bidang politik.

2.Semasa saya jadi presiden UMNO dan Perdana Menteri cabaran tidak pernah berhenti. Sudah tentu ada percubaan menjatuhkan saya sebagai presiden UMNO.

3.Diantara cabaran yang terbesar ialah apabila Tengku Razaleigh Hamzah dicalonkan untuk bertanding jawatan presiden UMNO.

4.Kita sudah terima sistem demokrasi dalam pemilihan pemimpin. Apa yang dilakukan oleh Tengku Razaleigh adalah sah dalam sistem demokrasi. Tiada apa yang boleh dilakukan oleh saya untuk mengelak dari dicabar olehnya.

5.Maka Tengku Razaleigh dan ramai penyokong-penyokongnya berkempenlah di seluruh bahagian dan cawangan UMNO di seluruh Malaysia. Mereka bebas bertemu dengan ahli, cawangan dan bahagian-bahagian UMNO.

6.Kedudukan Tengku Razaleigh sebagai Menteri Perdagangan dalam kerajaan tidak terjejas. Demikian juga ramai menteri-menteri dan pemimpin-pemimpin UMNO yang memihak kepadanya.

7.Pengundian semasa mesyuarat agong UMNO berjalan dengan baik. Kerana terjatuh pada hari Jumaat, pengundian dihentikan dan kempen dapat diteruskan dikalangan perwakilan oleh penyokong Tengku Razaleigh.

8.Perkiraan undi dibuat berkali-kali kerana ada yang tidak puas hati dengan keputusan. Hanya pada jam lapan malam barulah keputusan dapat diisytihar.

9.Saya menang dengan kelebihan hanya 43 undi. Saya terima. Peristiwa yang berlaku selepas itu diketahui umum dan tidak perlu saya ulangi disini.

10.Pada bulan Disember 2015 ini, Mesyuarat Agong UMNO akan diadakan.

11.Tidak akan ada apa-apa pertandingan. Tetapi entah kenapa usaha sedang dibuat oleh UMNO supaya perbahasan berkenaan perkara tertentu, khususnya 1MDB dan wang sebanyak 2.6 billion Ringgit dalam akaun peribadi Dato Sri Najib tidak boleh dibangkit.

12.Persidangan pula akan tertutup kepada orang ramai. Tidak semua dari ucapan perwakilan akan disiar. Hanya ucapan presiden sahaja akan disiar.

13.Sepatutnya Muhyiddin Yassin, sebagai Timbalan Presiden akan membuka persidangan sayap – Pemuda, Wanita dan Puteri. Amaran sudah diberi supaya ahli UMNO tidak akan bercakap berkenaan perkara ini.

14.Apakah jenis Mesyuarat Agong UMNO ini?

15.Saya tidak akan bertanding untuk apa-apa jawatan. Tetapi usaha gigih sedang dijalan untuk menutup mulut saya, untuk menyekat saya dari berjumpa dengan ahli UMNO, bahkan orang ramai. Dewan dimana mesyuarat boleh diadakan yang dihadiri oleh saya tidak boleh didapati kerana semua pemilik takut didera oleh Kerajaan.

16. Ada iklim ketakutan yang menghalang segala kegiatan yang bersangkutan dengan mengkritik Kerajaan. Ia seolah-olah menjadi jenayah yang tidak tertulis. Tetapi dakwaan dibuat kononnya ini Negara demokrasi. Sesiapa yang cuba sabotaj demokrasi Malaysia boleh dikena penjara hingga 15 tahun. Tetapi sebenarnya yang mensabotaj demokrasi Malaysia ialah Kerajaan sendiri.

17. Bermacam jenis tekanan digunakan yang tidak demokratik.

18. Ada yang berhadapan dengan pemeriksaan pendapatan kononnya kerana tidak bayar cukai. Ada yang disoal siasat oleh polis. Ada yang dimasuk dalam tahanan tanpa berasas kepada undang-undang. Ada yang diugut akan kehilangan kontrak dll.

19.Kata pepatah berani kerana benar; takut kerana salah. Apakah kerana salah yang takut sangat 1MDB dan 2.6 billion ringgit dibincang.

Share on Myspace