Audit: Objektif harga beras murah tidak capai sasaran

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Objektif utama program subsidi beras bagi membantu warganegara Malaysia khususnya golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan harga beras lebih murah tidak mencapai sasaran.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 3 ini disebabkan jumlah kuantiti kuota beras yang dikeluarkan khusus untuk golongan sasar, terdapat juga pengguna daripada golongan warganegara asing, pengusaha kedai makan dan dijadikan makanan binatang peliharaan yang turut menyumbang kepada ketiadaan stok beras subsidi di pasaran runcit.

Objektif subsidi beras ini adalah untuk menampung kerugian yang ditanggung oleh pengilang iaitu Padiberas Nasional Berhad (Bernas) bagi mengeluarkan beras ST15% dan S15% supaya dapat memastikan bekalan beras ini dapat dinikmati oleh warganegara Malaysia yang berpendapatan rendah dengan kawalan dari segi kuantiti bekalan dan harganya.

Program ini mula dilaksanakan melalui Fasa 1 bagi tempoh 6 bulan bermula pada 1 April 2009 hingga 30 September 2009 dan dilanjutkan sehingga kini.

Subsidi berjumlah RM750 atau RM700 setan metrik (mt) akan dibayar oleh  Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani (MOA) kepada Bernas. Amaun subsidi ini adalah perbezaan antara kos belian Bernas daripada pembekal iaitu sejumlah RM2,100/mt dengan kos jualan beras tersebut kepada pemborong pada harga RM1,350/mt atau RM1,400/mt.

Peruntukan berjumlah RM3.336 bilion disediakan untuk membiayai program subsidi ini bagi tempoh tujuh tahun mulai tahun 2008 hingga 2014 berdasarkan 16 kontrak yang ditandatangani antara Kerajaan dan Bernas.

MOA menetapkan sasaran pembekalan beras subsidi ST15% tidak melebihi 40,000 mt sebulan kepada pemborong di Semenanjung Malaysia dan 20,000 mt sebulan kepada pemborong di Negeri Sabah dan Sarawak bagi pembekalan beras subsidi S15%. - HARAKAHDAILY 24/11/2015

Share on Myspace