Dun: PAS Pulau Pinang panggil Salleh 26 Nov

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS Pusat mengarahkan pimpinan Pulau Pinang memanggil Adun Permatang Pasir, Datuk Salleh Man pada 26 November ini berhubung kedudukan beliau di Dewan Undangan Negeri itu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata parti itu akan menjadi pembangkang selepas PAS Pulau Pinang menarik balik 783 ahlinya daripada menganggotai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Sebelum ini, kerajaan negeri telah memecat seramai 300 ahli PAS yang memegang jawatan JKKK di bawah kuota PAS.

"Kedudukan PAS di Pulau Pinang sebagai pembangkang kerajaan Pakatan Harapan tetapi kita tidak bekerjasama dengan Umno.

"Kita berdiri sendiri, kita akan buka pusat khidmat setiap kawasan menjadi perantara antara rakyat dengan pejabat dan agensi kerajaan," katanya kepada Harakahdaily.

PAS Pulau Pinang mempunyai 1,083 anggota JKKK.

Salleh adalah wakil tunggal PAS dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS negeri Muhammad Fauzi Yusof  berkata keputusan untuk memberhentikan semua ahli PAS yang berkhidmat di dalam JKKK dalam semua kuota, kuota DAP, kuota PKR mahupun kuota campuran selepas kerajaan DAP Pulau Pinang banyak menyinggung perasaan umat Islam termasuk isu hukum hudud, pemecatan pihak berkuasa tempatan dari PAS dan isu pemberian dana sekolah agama rakyat di negeri itu. - HARAKAHDAILY 24/11/2015

Share on Myspace