PAS gesa kaji semula pemberian lesen judi

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengkaji semula pemberian lesen perjudian kerana ia memberi implikasi buruk kepada masyarakat dan negara.

Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan berkata isu perjudian telah meningkatkan indeks jenayah dalam negara terutamanya rompak, samun dan pecah rumah.

"Sejajar dengan hasrat kerajaan mahu memperkenalkan Indeks Syariah, adakah kerajaan berhasrat untuk membatalkan kesemua lesen perjudian atau setidak-tidaknya sepatut dari yang telah diluluskan.

"Aktiviti perjudian tidak dapat membina tamadun yang hebat sebaliknya ia meruntuh sistem nilai dan sekaligus merugikan negara secara spiritual dan material," katanya ketika mengemukakan soalan tambahan di Dewan Rakyat, pagi ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu turut menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap premis perjudian yang tidak berlesen.

"Fokus umum kepada judi tidak berlesen yang sememangnya juga tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

"Walaupun serbuan telah dilakukan namun mereka tetap beroperasi seperti biasa, kenapa tidak ada tindakan menyita permis tersebut," soal beliau.

Beliau juga berharap semua kementerian termasuk Kementerian Kewangan yang berurusan secara langsung meluluskan lesen judi dapat diselaraskan secara sepadu untuk memerangi aktiviti tidak bermoral itu.

"Sudan sampai masanya negara memerangi judi sebagaimana kita memerangi dadah dan lain-lain musuh negara yang merosakkan akhlak rakyat," sambung beliau lagi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Temerloh itu berkata isu pemberian lesen perjudian adalah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dikawal sepenuhnya kerajaan negeri.

"Pihak polis hanya membuat pemeriksaan, PBT sepatutnya menggunakan sepenuhnya kuasa mereka untuk menyita premis yang tidak mempunyai lesen.

"Namun kita akan terus bekerjasama dengan PBT bagi memastikan setiap premis perjudian tanpa lesen ini dikenakan tindakan dan ditutup sepenuhnya operasi mereka," kata beliau.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad Wasali dalam soalannya meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan langkah jangka panjang membanteras kegiatan perjudian haram, termasuk menerusi online dan kafe siber bagi mengelak generasi muda terjebak kegiatan tersebut. - HARAKAHDAILY 25/11/2015

Share on Myspace