Kekalkan BM bahasa rasmi tunggal di Sarawak

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Cadangan kerajaan negeri Sarawak yang mahu menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dalam urusan rasmi kerajaan selain Bahasa Melayu terus mendapat tentangan daripada pelbagai pihak termasuk Presiden, Parti Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

“Saya setuju dengan pandangan yang diutarakan kelmarin oleh Penasihat kepada Kerajaan, Dr Rais Yatim, bahawa Kerajaan Sarawak harus mengkaji semula keputusan untuk menjadikan Bahasa Inggeris juga sebagai bahasa rasmi Kerajaan Negeri Sarawak,” kata beliau dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Kata beliau lagi, semasa merdeka dahulu semua pemimpin kaum telah bersetuju bahawa cara yang paling berkesan untuk menyatupadukan rakyat negara ini adalah dengan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal bagi seluruh negara.

“Perkara ini telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia secara yang begitu jelas dan teguh. Kebetulan pula itulah satu-satunya bahasa yang digunakan oleh seluruh rakyat Malaysia sebagai bahasa harian diantara mereka.

“Saya tidak nafikan Bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa dan harus dipelajari oleh semua anak-anak kita. Tetapi kerajaan Sarawak dan seluruh negara harus mencari kaedah lain yang benar-benar berkesan untuk anak-anak kita menguasai bahasa antarabangsa tersebut,” ujar beliau lagi.

Beliau menegaskan bahawa Bahasa Melayu seharusnya dikekalkan terus-menerus sebagai bahasa tunggal untuk menyatupadukan rakyat. Ia juga hendaklah dikekalkan sebagai bahasa rasmi tunggal untuk segala urusan Kerajaan dan bahasa kesejahteraan seluruh rakyat bagi masa hadapan. – HARAKAHDAILY 25/11/2015

Share on Myspace