Hubungi ibu bapa di Felda, nasihati mereka hadapi banjir

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Kita sudah melepasi separuh bulan November, lazimnya permulaan banjir gelombang pertama melanda negeri Pantai Timur Semenanjung.

"Kita tidak dapat menjangkakan bila banjir dan sebesar manakah ianya melanda, sikap berwaspada adalah terbaik kita ambil," kata Pengerusi Hal Ehwal Felda, Lajnah Tanah, Peneroka Bandar dan Orang Asal PAS Pusat, Naraza Muda.

Beliau berkata, langkah bersiap sedia hadapi apa jua keadaan, pastinya banyak membantu agar mangsa banjir dapat membuat persiapan sepatutnya.

"Sahabat kita di Felda Tersang 1 dan Felda Tersang 2 sudah ada dipindahkan akibat hujan lebat di beberapa kawasan melanda daerah Raub," ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, warga Felda ramai berada di luar kawasan.

"Tinggalah peneroka yang sudah bergelar warga emas, justeru itu wajarlah kita, anak-anak yang berapa di luar, menghubungi mereka," katanya lagi.

Beliau menambah, bertanya khabar, nasihati mereka agar bersiap sedia, dokumen penting dan barang peribadi yang berharga sewajarnya di simpan tempat yang diyakini tidak ditenggelami air dan memudahkan kita sewaktu proses perpindahan dan sebagainya.

Naraza juga menyeru agar seluruh ahli PAS di Kawasan Felda bersiap sedia untuk sebarang rintangan dan keadaan yang bakal melanda kita di Tanah Rancangan Felda seluruh negara terutama kawasan pedalaman yang biasa dilanda banjir.

Justeru, ujar beliau utamakanlah warga peneroka Felda yang sudah uzur tanpa mengira fahaman politik.

"Ini masanya kita membantu mereka dan sudah menjadi amalan kita PAS mengorak langkah ke hadapan dalam memberi bantuan terutama Unit Amal," ujarnya.

Beliau turut mengingatkan agar patuhilah arahan pihak berkuasa dalam persiapan menghadapi musim ini.

"Sabar dalam menunggu bantuan dan sebagainya. Apa yang penting keselamatan diri kita perlu diutamakan," katanya lagi. - HARAKAHDAILY 25/11/2015

Share on Myspace