2 rakyat Malaysia ditangkap cuba berenang keluar S'pura

BERNAMA | .

SINGAPURA: Dua rakyat Malaysia, berumur 37 dan 39 tahun, ditangkap kerana cuba berlepas dari Singapura dengan berenang ke Malaysia.

Mereka meletakkan beg sampah atas kepala untuk menyembunyikan diri, menurut Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam satu kenyataan.

Pada kira-kira 4.40 pagi ini, pegawai-pegawai di Pusat Pemeriksaan Woodlands ternampak dua beg sampah hitam terapung dekat pantai di Tambak Johor.

Mengsyaki sesuatu, pegawai-pegawai itu melakukan pemeriksaan dan mengesan dua orang sedang berenang berhampiran pantai menghala ke Malaysia.

Siasatan awal menunjukkan dua pesalah imigresen itu telah tinggal melebihi had masa di Singapura. Siasatan masih dijalankan.

ICA memandang berat percubaan untuk tinggal melebihi had masa, memasuki atau keluar dari Singapura secara haram.

Di bawah Akta Imigresen (Bab 133), hukuman kerana tinggal melebihi had masa atau masuk secara haram ialah penjara hingga enam bulan serta minimum tiga sebatan, sementara kesalahan kerana berlepas keluar secara haram adalah denda hingga S$2,000 (S$1=RM3), penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya sekali. - Bernama

Share on Myspace