Selangor sedia RM5.65 juta untuk pertanian, penternakan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Peruntukan pembangunan untuk bantuan nelayan, petani dan penternak di Selangor bagi 2016 meningkat kepada RM5.65 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib berkata jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding peruntukan 2015 bernilai RM3.2 juta.

Bagaimanapun, katanya bantuan tidak disalurkan melalui pinjaman wang sebaliknya peralatan dan sokongan bagi meningkatkan hasil.

“Contohnya bagi sektor perikanan, kita akan berikan bantuan seperti bot, enjin dan pukat untuk kemudahan nelayan.

“Untuk petani, biasanya kita akan bekalkan peralatan dna benih, manakala penternak pula contohnya mendapat bantuan membina pagar bagi menjaga ternakan mereka,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau diminta mengulas bantuan kewangan disediakan kerajaan negeri kepada golongan nelayan, petani dan penternak di negeri itu.

Zaidy berkata, bantuan kewangan dan pinjaman masih boleh didapati menerusi portfolio kerajaan prihatin dan program Hijrah.

“Jika memerlukan sokongan kewangan, mereka boleh mengikut saluran lain yang ada di negeri ini.

“Kita juga menggalakkan partisipasi Bank Agro dalam memberikan bantuan dan bimbingan kepada mereka yang memerlukan juga layak,” katanya yang juga Adun Taman Templer.

Share on Myspace