Bukan kali pertama golongan kecewa muncul dalam PAS

DR. ALIAKBAR GULASAN | .

KOTA KINABALU: PAS sudah biasa dengan ranjau dan duri sepanjang perjalanan. Berbanding parti lain di Malaysia, beban PAS pasti lebih berat. PAS menjunjung citra politik dan citra dakwah. Kalau dalam politik kita belum berjaya, dakwah akan diteruskan selagi dunia ini wujud.

Inilah diantara pesanan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS semasa ucapannya dalam Program Nekad 10.0 di Kota Kinabalu semalam. Di hadapan lebih 300 orang yang hadir, beliau menyatakan keyakinan dan kesungguhan bahawa PAS akan terus memandu ummah.

Turut hadir adalah Dr. Ridhuan Mohd Nor dan Ustaz Mokhtar Senik, kedua-duanya AJK PAS Pusat.

Dalam majlis yang sama, Datuk Tuan Ibrahim turut melancarkan sebuah NGO yang memperjuangkan isu tanah iaitu Generasi.

“PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang berpandukan al-Quran tidak mungkin akan tunduk kepada kehendak manusia yang cuba meminggirkan al-Quran dalam perjuangan mereka. PAS akan terus berusaha mempamerkan kepada masyarakat akan kesempurnaan dan keindahan Islam,” tegas beliau.

Beliau juga berpesan kepada seluruh yang hadir agar memberi  keyakinan sepenuhnya kepada pimpinan yang sudah dipilih. Semuanya telah melalui proses yang telah ditentukan oleh parti.

Di akhir ucapan, beliau menyatakan bahawa golongan kecewa akan terus wujud. Sepanjang sejarah PAS sudah beberapa kali golongan ini muncul. Itu adalah sebahagian daripada proses penyucian dan pematangan parti. Mereka yang berada dalam PAS kena terus berjuang dan memandu ummah. – HARAKAHDAILY 26/11/2015

Share on Myspace