Dalang di sebalik desak Najib undur

ASPAN ALIAS | .

RAMAI yang memperkatakan yang banyak cawangan Umno akan mendesak Najib untuk meletakkan jawatan. Ada yang mengatakan setidak-tidaknya sebanyak lima ribu cawangan akan membuat desakan itu.

Malahan ratusan cawangan telah pun melakukannya dan ini mendapat reaksi pimpinan Umno pusat. Adnan Mansor dan Ahmad Zahid telah menuduh ada dalang di sebalik desakan yang dilakukan oleh cawangan-cawangan ini.

Ramai yang beranggapan yang ia didalangi oleh musuh dalam parti. Tetapi tidak kurang yang beranggapan yang ia juga didalangi oleh Zahid Hamidi kerana Zahid mahu mempastikan dirinya mendapat kerjaya sebagai PM itu secepat mungkin.

Walau apa pun desakan itu telah wujud dengan jumlah cawangan yang besar. Jika dua puluh lima peratus dari jumlah cawangan membuat tuntutan itu ia tetap melemahkan Najib dan secara moralnya.

Najib sudah hilang 'legitimacy' untuk memimpin parti dan negara. Beliau wajar meletakkan jawatan kesayangannya itu. Secara hakikatnya Najib sudah menjadi pemimpin yang ‘spent force’ dalam partinya sendiri.

Bagi sesiapa yang boleh berfikir lebih dalam lagi Najib telah memberikan ruang untuk orang lain melakukan ‘dalangan’ terhadap beliau untuk berhenti itu.

Jika seseorang pemimpin itu sebenarnya pemimpin yang berwibawa, tidak mungkin sentimen menolaknya begitu besar dan meluas. Jika Najib seorang pemimpin yang benar, tidak mungkin sesiapa boleh mendalangi tuntutan cawangan-cawangan untuk beliau meletakkan jawatan.

Apa yang didengar dari Umno itu adalah ketidakyakinan ahli-ahli parti itu terhadap Najib. Tetapi yang lebih besar lagi ialah doa dan tuntutan rakyat ramai untuk beliau meletakkan jawatan kerana sudah tidak terlarat untuk bersabar dengan kerenahnya sebagai pemimpin negara.

Kita sekarang boleh bertanya kepada Najib, di manakah dia tiga juta ahli Umno yang menyokong nya itu? Sesungguhnya apa yang berlaku di peringkat akar umbi sekarang ini amat membahayakan Umno itu sendiri. Umno sudah pasti akan kalah di lebih banyak kawasan kali ini.

Setidak-tidaknya kali ini Umno akan menambah kawasan yang mereka akan kalah. Jika Umno hanya mendapat kurang dari tujuh puluh kerusi, BN akan tumbang kerana Umno tidak boleh mengharapkan tambahan kerusi dari rakan komponennya seperti MCA dan Gerakan.

Kekalutan Umno sudah ada batasnya lagi. Najib hanya menumpukan untuk menyelamatkan dirinya semata-mata. Sejak penyingkiran Muhyiddin dan Shafie Apdal dan pemecatan ramai ahli-ahli parti yang tidak sehaluan, Umno dan Najibnya sudah tiada jalan lagi untuk menyelamatkan parti ini.

Perhimpunan kali ini akan berlaku perubahan dalam persidangan itu. Perhimpunan sayap-sayap parti kali ini akan dirasmikan oleh ketua sayap masing-masing untuk mengelak Muhyiddin daripada berucap dan mendapat tumpuan. Zahid Hamidi pun mahu beliau yang merasmikan persidangan sayap-sayap itu.

Sekarang ada ura-ura untuk tidak membenarkan media membuat liputan dan persidangan itu akan diadakan secara tertutup pula. Jika kita melihat dari senario dalam Umno kini, kita memahami Umno sudah tidak boleh diselamatkan lagi. Selagi semua pimpinan parti itu tidak diubah Umno akan merudum kerana tekanan rakyat untuk presiden parti itu berhenti sudah terlalu meluas dan mendesak.

Jika persidangan dibuat secara tertutup elok jangan bersidang di Kuala Lumpur. Elok kita cadangkan perhimpunan itu dibuat di hutan belantara Pahang sahaja. Di sana tidak ada yang datang menjenguk dan tiada siapa yang mendengarnya. Segala masalah sekarang di dalangi oleh Najib sendiri. Hanya beliau selalu melemparkan kesalahan beliau kepada pihak lain.

Umno bermusuh dengan semua pihak khususnya kepada orang Melayu. Kita orang Melayu hanya digunakan oleh pimpinan hari ini sebagai pemikul bala perbuatan pucuk pimpinan hari ini. – aspanaliasnet.blogspot.my/

Share on Myspace