Hapus subsidi elektrik, rakyat miskin teraniaya

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Satu yang sangat tidak wajar apabila kerajaan menghapuskan subsidi yang selama ini diberikan kepada rakyat miskin.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, terlalu banyak subsidi pemberian yang selama ini dinikmati rakyat sebagai suatu mekanisma pengagihan kekayaan negara dirampas semula oleh kerajaan.

Katanya, jika sebelum ini subsidi petrol, subsidi gula, subsidi beras ST 15 dan insentif peningkatan hasil padi dimansuhkan serta pengurangan-pengurangan peruntukan yang dikurangkan dalam Bajet 2016.

"Kini, subsidi bil elektrik RM150 juta dimansuhkan dalam Bajet 2016. Ini bermakna rakyat miskin akan terpaksa membayar mengikut jumlah sebenar," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, penghapusan subsidi bil elektrik untuk rakyat miskin adalah satu penganiayaan kepada mereka sedangkan dalam bil elektrik rumah Perdana Menteri pun berjumlah RM2.2 juta setahun manakala rumah Timbalan Perdana Menteri pula berjumlah RM800,000 setahun.

"Semua ini malangnya ditanggung oleh wang rakyat," katanya lagi.

Beliau berkata. penghapusan subsidi dan pengurangan peruntukan insentif untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat menjadikan orang miskin tanpa subsidi dalam suasana harga getah sekerap hari ini RM1.90 sekilo. - HARAKAHDAILY 26/11/2015

Share on Myspace