Doktor pelatih: Adakah benar dakwaan ini?

USTAZ IDRIS AHMAD | .

Saya hendak membicarakan berkenaan dengan B.42 Butiran 010400 – Perancangan tenaga Manusia dan Latihan.

Saya ingin merujuk kepada kenyataan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Melaka yang menyebut, dia kata ada 1,000 doktor pelatih tidak meneruskan kerjaya sebagai pegawai perubatan kerana masalah penguasaan bahasa Inggeris.

Soalan saya adakah benar dakwaan ini? Tidak logik pada saya kerana kebanyakan pembelajaran yang diajar, jadi rujukan kepada doktor-doktor ini ialah dalam bahasa Inggeris.

Kemudian yang keduanya ialah berkenaan dengan waktu doktor pelatih. Berapakah waktu kerja doktor pelatih yang mengikuti housemanship?

Ini kerana pernah suatu ketika dahulu diberikan satu peraturan iaitu waktu doktor pelatih ini bertugas ialah dahulunya 90 jam kepada 50 jam. Adakah benda ini dipraktikkan?

Saya juga hendak bertanya berapa ramai doktor pelatih yang mengikuti housemanship tetapi kemudiannya meninggalkan profesion kedoktoran ini?

Kemudian B.42 Butiran 031900 – Radioterapi dan Onkologi.

Soalan saya ialah hendak bertanya berkenaan dengan berapa satu kelengkapan untuk radioterapi ini?

Kalau boleh biarlah setiap negeri itu adanya kelengkapan radioterapi untuk merawat penyakit barah pada hari ini. Ini kerana misal kata di negeri Perak, mereka terpaksa pergi ke Pulau Pinang ataupun ke Kuala Lumpur. Itu pun saya pelik juga kerana ada seorang pengundi di kawasan saya yang membuat radioterapi sebanyak 35 kali.

Sepatutnya dia buat di Hospital Pulau Pinang, cuma dia hanya transit duduk di Hospital Pulau Pinang, sebaliknya dia kena berulang-alik ke hospital swasta Mount Miriam.

Ini suatu perkara yang pelik, saya hendak minta penjelasan, adakah di Pulau Pinang sendiri tidak ada, sehinggakan terpaksa ditransfer ke hospital swasta?

Akhir sekali ialah saya hendak minta supaya kementerian mengeluarkan juga satu pekeliling supaya membolehkan kami sebagai Ahli Parlimen ataupun Adun untuk melawat pesakit-pesakit terutamanya orang yang berada dalam kawasan kami pada bukan waktu-waktu biasa kerana ini memberikan peluang.

Ini kerana kita tidak boleh mengikut jadual yang ada kepada orang ramai memandangkan kita mempunyai jadual-jadual yang lain. - HARAKAHDAILY 26/11/2015

Ucapan Ahli parlimen Bukit Gantang, Ustaz Idris Ahmad ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 di bawah Kementerian Kesihatan di Dewan Rakyat pada 25 November 2015.

Share on Myspace