Solat hajat, munajat elak bah besar - MB Kelantan

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan mengajak rakyat negeri ini solat hajat dan munajat bagi memohon kepada Allah Taala supaya dielakkan daripada berlakunya bah besar seperti tahun lalu.

Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata solat hajat boleh diadakan di masjid atau surau di kampung masing-masing.

“Hanya Allah yang berkuasa di atas segala sesuatu. Kita sekarang berada di musim tengkujuh dan persiapan sewajarnya perlu dibuat dengan baik oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pekeliling Jabatan Meteorologi Malaysia bertarikh 24 November lepas menjangka berlaku hujan lebat peringkat kuning di Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula 26 hingga 28 November ini.

Bagi menghadapi kemungkinan banjir akhir tahun ini kerajaan negeri turut menyediakan 4,269 anggota penyelamat bagi membantu mangsa banjir.

Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat berkata anggota tersebut  terdiri daripada pasukan polis, Bomba dan Penyelamat,  Angkatan Tentera Malaysia (ATM), JPAM, Rela, Kastam, Marin, Jabatan Pengairan dan Saliran, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan Briged Sukarelawan Bencana Negara.

Jawatankuasa khas berkenaan di bawah seliaan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Mumtaz Md Nawi.

Bagaimanapun cuaca di Kota Bharu hari ini cerah dan kadang-kadang mendung. - HARAKAHDAILY 26/11/2015

Share on Myspace