Jacel Kiram: Nurul Izzah saman KPN, menteri

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar hari ini memfailkan saman terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas dakwaan menuduhnya sebagai penderhaka kepada negara.
    
Nurul Izzah yang juga naib presiden PKR menfailkan saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, di sini melalui Tetuan Daim & Gamany dan menamakan Khalid dan Ismail Sabri sebagai defendan pertama dan kedua.
    
Dalam pernyataan tuntutannya, Nurul Izzah mendakwa pada 22 Nov lepas, Khalid telah mengeluarkan perkataan-perkataan fitnah dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman.
    
Beliau berkata perkataan fitnah itu dikeluarkan selepas beberapa hari gambar yang memaparkannya (Nurul Izzah) bersama Jacel Kiram, anak perempuan kepada Jamalulail Kiram yang dikatakan mengarahkan atau mengetuai serangan dan pencerobohan ke atas Sabah, pada 2013.
    
Nurul Izzah mendakwa dalam makna asal atau biasa perkataan-perkataan fitnah itu bermaksud beliau adalah seorang penderhaka kepada negara dan dalang di sebalik serangan dan pencerobohan Sulu ke atas Sabah.
    
Nurul Izzah juga mendakwa pada hari sama, Ismail Sabri juga mengeluarkan perkataan-perkataan fitnah dalam sidang media di satu majlis di Bera, Pahang yang dalam makna asal atau biasa bermaksud beliau adalah seorang penderhaka kepada negara dan telah mengisytiharkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.
    
Katanya kenyataan oleh defendan pertama dan kedua itu diterbitkan dan disiarkan di media elektronik dan cetak.
    
Beliau mendakwa disebabkan perkataan fitnah itu, beliau mengalami kecederaan teruk terhadap reputasi sebagai seorang anggota Parlimen dan pemimpin politik.
    
Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi am, teruk, faedah, kos dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah. - Bernama

Share on Myspace