PAS cadang skim gaji doktor bermula UD48

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS mencadangkan supaya kerajaan mengkaji semula skim gaji doktor.

"Ketika bertanya soalan tambahan pada persidangan Dewan Rakyat kepada Kementerian Kesihatan semalam, saya minta supaya skim gaji doktor bermula dengan UD48, bukannya UD41," kata Ustaz Idris Ahmad (PAS-Bukit Gantang).

Ini, ujarnya memandangkan pengorbanan seorang doktor begitu tinggi daripada belajar hinggalah mereka bekerja.

Menurutnya, semua orang sedar pengajian doktor memakan masa begitu lama sehingga 6 tahun.

Justeru, kata beliau, apa salahnya pihak kerajaan letakkan mereka di skim yang berbeza dengan sektor lain.

Ini, ujarnya sebagai insentif dan penghargaan kerajaan kepada profesion mereka.

"Apabila kebajikan doktor dijaga ia akan memberi kesan langsung untuk meningkatkan kualiti kesihatan rakyat Malaysia," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau berkata, kajian pada tahun 2009 mendapati 68.7 peratus doktor mengalami tekanan manakala 30-40 peratus menyatakan waktu bekerja dan beban kerja yang tinggi sehingga tidak ada masa untuk bersosial.

Ini, ujarnya sehingga ada di kalangan mereka yang tinggal profesion doktor.

"Oleh itu layaklah cadangan skim doktor ini dikaji semula," kata beliau lagi. - HARAKAHDAILY 27/11/2015

Share on Myspace